ahlan wasahlan..wamarhaban bikum

wadah penjana minda

sebelum tirai berlabuh

















Tinggal beberapa hari sahaja lagi tabir 2008 akan berlabuh. Sepanjang tahun ini, ada beberapa perkara besar yang berlaku di negara kita. Kejadian penemuan gadis kecil bernama Nurul Jazlin Jazimin dalam keadaan yang cukup menyayatkan, disoroti pula dengan kehilangan adik sharlinie yang sehingga kini masih belum ditemui. Kisah keranda 152, kegagalan pihak tertentu mempertahankan perlembagaan negara sehingga perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sentiasa diteruskan, banjir-banjir besar, serangan wabak chikungunya dan yang terbaru tragedi runtuhan tanah di Bukit Antarabangsa serta banyak lagi peristiwa dan pencapaian yang terukir, adakah ianya cukup memberi kesan pada hati kita.


Selain akhir-akhir ini, peranan media dalam mendidik masyarakat mencintai hiburan semakin berjaya sehinggakan kisah di sebalik kain artis juga menjadi bahan utama, adakah kita juga turut menyumbang kepada pemujaan hedonisme? Atau berbakti dan bermanfaat pada orang lain, atau kita sekadar hidup dengan dunia kita sendiri? Kegemilangan insan yang menjadi artis dan kegagalan mereka dalam rumah tangga lebih menjadi tumpuan media berbanding orang-orang ilmuan yang datang ke negara kita, berbanding pencapaian ahli akademik anak tempatan. Apapun, segalanya hanya akan terpahat sebagai satu lembaran di tahun 2008 yang menyimpan segala episod kedukaan, kegembiraan, kekecewaan dan sebagainya.


Bagaimana pula dengan diri kita? Semakin baik atau semakin buruk? Dalam tempoh 10 tahun, 20 tahun, 30 tahun bahkan lebih, apa yang telah kita sumbangkan dalam pembangunan insan? Terhadap agama kita? Diri, keluarga dan masyarakat? Adakah kita ini sisa-sia yang lahir dari manusia yang pernah menerima didikan agama sejak kecil tetapi menjadi ‘hantu’ bila meningkat dewasa? Bertambah jahil? Amalan seperti orang yang tiada agama? Atau kita pernah bermula sebagai orang yang jahil, punya episod kelam dan sejarah hitam yang akhirnya berusaha mendekatkan diri dengan Tuhan dalam tempoh tersebut? Atau kita insan terpilih oleh Allah yang sentiasa istiqamah di atas jalan-Nya tanpa sedikit pun tercemar dengan persangkaan buruk terhadap orang lain? Sememangnya bukan mudah menjadi manusia sempurna tanpa sedikit pun dihinggapi debu-debu dosa.


"Barangsiapa yang mengajak ke arah kebaikan, maka ia memperoleh pahala sebagaimana pahala-pahala orang-orang yang mengikutinya, tanpa dikurangi sedikitpun dari pahala-pahala mereka yang mencontohnya itu, sedang barangsiapa yang mengajak ke arah keburukan, maka ia memperoleh dosa sebagaimana dosa-dosa orang-orang yang mengikutinya, tanpa dikurangi sedikitpun dari dosa-dosa mereka yang mencontohnya itu."


(riwayat muslim)



Inilah yang dikatakan saham akhirat. Dalam tempoh 20 tahun aku hidup, sebelum menjengah satu lagi tahun (sekiranya dipanjangkan usia), aku hanya mengenal kehidupan seawal usia 15 tahun. Selepas berlaku dua kehilangan dalam hidupku, banyak perkara yang telah kupelajari. Sekadar mendidik diri menjadi lebih matang. Perkara-perkara dan musibah secara tidak langsung dari Allah membuatkan aku lebih sedar dalam keadaan bagaimana sekalipun, Allah tidak pernah jemu memberi kasih sayang. Bermula sebagai manusia yang tidak mempunyai fiqrah, pencarian ilmu-ilmu Allah tidak pernah putus. Sehinggakan apabila ditanya bila tempoh tamat pengajian, suka aku katakan seluruh hidupku untuk mencari ilmu. Bahkan tiada tamat dalam pengajian. Para ulama’ pernah menyebut:


ilmu itu berukuran 3 jengkal. Siapa yang baru tiba di jengkal pertama, maka dia akan memiliki sikap takbur dan bongkak. Siapa yang berada ke jengkal kedua, maka dia akan merendah diri. Dan siapa yang berjaya mencapai jengkal terakhir, ketika itu dia menyedari bahawa banyak lagi perkara yang tidak diketahuinya”



Pentingnya pencarian ilmu ini sebenarnya mendidik diri agar lebih menjaga hati. Betapa ramainya orang yang berilmu tetapi tidak diamalkan, mempunyai ilmu tetapi mempertikaikan kebenaran sehinggakan ada yang menuntut ilmu kerana ingin mencari kesalahan. Aku mengharapkan agar dalam tempoh pencarian ilmuku ini akan kuperoleh kasih sayang Tuhan. Dalam tempoh 20 tahun kehidupanku, peluang untuk berada di jalan Allah hanya menyapa beberapa tahun kebelakangan ini. Itupun sering sahaja langkahku goyah. Manusia sering tertipu dengan penampilan, tutur kata dan perlakuan kita, tetapi segala dosa yang tersembunyi sangat hina dan kotor sentiasa dalam pemerhatian Tuhan. Cukupkah beberapa tahun kebelakangan ini, kebaikan yang tidak pasti diterima Tuhan mampu menghapuskan dosa-dosa yang aku lakukan? Sepanjang 20 tahun kehidupanku, warna-warna kehidupan menjadi rencah diselangselikan dengan dosa manusia yang kerdil ini. Dosa dalam perhubungan sesama manusia dalam tempoh 20 tahun ini atau sepanjang tahun 2008, sudahkan terampun? Adakah ketika jasad ini diselimuti kain putih, tika itu baru akan terampun? Atau bagaiman pula jika tidak?



Melihat pada keadaan ini sahaja, aku semakin takut untuk menempuh usia yang baru. Memilih jalan dakwah, dan berdakwah perlu dengan ilmu, dengan kasih sayang. Kuatkah aku untuk meneruskan jalan pilihanku sendiri? Mampukah aku menyusuri jalan-jalan para anbiya’ dan ulama’? Hanya ini harapan dan peluang yang Allah campakkan dalam usaha aku memperbaiki diri. Semoga Hijrah yang bakal tiba membuka satu dimensi baru dalam kehidupanku, semoga terbukanya tirai tahun baru masihi membawa satu pengharapan yang jitu pada Allah, persangkaan yang baik pada Allah. Dan ketaatan yang baik pada Allah.




jalan menuju taubat
















Perjanjian kita sebagai hamba dan khalifah sudah termaktub ketika di louh mahfuz dan pernah terpateri ketika kita di alam rahim. Sebaik sahaja kita melihat dunia, peranan itu sudah mula terabai. Sedikit demi sedikit ianya terhakis. Bahkan sehingga satu peringkat kita melupakan perjanjian tersebut. Berdasarkan mafhum surah ini, apakah cukup berani untuk kita menafikan peranan tersebut?


Dan sememangnya dalam tempoh kehidupan kita betapa banyak dosa yang kita lakukan sama ada dosa kecil mahupun dosa besar. Penyelesaiannya mohonlah keampunan dari Tuhan. Mudahkan? Tetapi, bagaimana pula apabila kita melakukan dosa, kemudian kita bertaubat, dan kemudian kita kembali melakukan dosa. Tidak hairanlah ada yang beranggapan tidak mahu bertaubat kerana merasakan belum bersedia atau takut akan kembali kepada dosa. Sayangnya definisi taubat bagi kita semudah memohon keampunan dari Allah. Bibir mampu mengungkap doa, sayangnya hati tidak terikut sama. Itulah kelemahan kita sebagai manusia.


Dr ‘Aidh Abdullah al-Qarni pernah menyebut di dalam buku Pesanan Untuk orang berdosa, bahawa jalan menghampiri taubat atau mendorong untuk bertaubat ada beberapa faktor. Antaranya tidak panjang angan-angan. Kita merasakan yang kita masih lagi hidup selepas bertaubat, sebab itu kita tidak bersedia untuk bertaubat. Kita membimbangkan yang kita akan kembali kepada dosa sedangkan kita tidak pernah tahu penghujung usia. Sekiranya tidak bermula dengan taubat, masihkan kita ada kesempatan untuk terus hidup sama ada atas jalan kebaikan atau kembali kepada dosa? Oleh itu, berhentilah berangan-angan bahawa kita masih punya waktu selepas bertaubat. Berharaplah taubat dan keampunan kita diterima Allah itu jauh lebih baik dari kita memikirkan kehidupan kita selepas bertaubat.




dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): “wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini), kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan.” (lalu Allah menempelak mereka): Bukankah KAMI telah melanjutkan umur kamu dan member masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (KAMI) yang memberi amaran.”


Al-Fathir:37



Faktor yang seterusnya jalan menuju taubat adalah mengingati mati. Firman Allah dalam surah al-Jumu’ah ayat 8 yang membawa maksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): Sebenarnya maut yang kamu melarikan daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu DIA memberitahu kepada kamu apa yang telah kamu lakukan (serta membalasnya)




Selain itu dengan membayangkan azab Allah berupaya mendidik diri agar kita menyegerakan taubat. Letak sahaja tangan kita di atas api sebatang lilin. Selama mana kita mampu bertahan dan cuba letakkan diri kita sekiranya menjadi bahan bakar api neraka. Nau’zubillah min zalik, adakah kita masih punya berkesempatan untuk melengah-lengahkan taubat? Sempatkah kita mencari alasan? Api yang berada di dunia ini hanyalah sebesar lubang jarum sahaja jika ingin dibandingkan dengan api azab Allah. Dan akhir sekali, berharaplah agar taubat kita diterima dengan bersangka baik pada Allah. Dengan cara begini mampu memandu diri agar kita tidak terjebak ke lembah dosa. Dengan sentiasa mengingati nikmat Allah, maka seharusnya kita berasa malu kerana dalam keadaan kita kembali pada dosa kasih sayang Allah tetap luas. Semoga panduan ini sedikit sebanyak memberi kita satu kesempatan untuk segera menuju jalan taubat. Kembalilah seglanya kepada Allah kerana diri kita juga milik DIA.




Apa harapan kita?






















Membicarakan tentang harapan apabila usia semakin meningkat, bentuk dan figur-figur harapan itu kebiasaannya menjadi lebih besar. Sifatnya juga makin mencapah. Dari ruang lingkup harapan ibu bapa dan guru, kini bentuknya lebih menjurus kepada cita-cita, keluarga dan masa depan. Walaubagaimanapun, jangan sesekali kita lupa pengharapan itu perlu bersandar pada Allah dahulu. Memetik kata-kata ulama’ mursyid:


“jika kita berharap sesuatu selain dari Allah, jika kita dapat, kita berbangga. Jika tidak, kita akan kecewa. Tetapi jika kita berharap segalanya pada Allah, jika kita dapat kita gembira. Jika tidak, kita tetap akan berasa tenang, lapang dan bahagia.”

Dan sememangnya menjadi fitrah manusia sentiasa mengharapkan kebaikan. Waima dia seorang pencuri sekalipun, sudah tentu dia berharap akan beroleh ‘hasil’ dalam keadaan ‘selamat’. Bezanya Cuma persepsi dan perlaksanaan yang menjerumus ke arah kekufuran. Sebelum tirai 2008 berlabuh, sebahagian besar manusia sudah mula memasang azam dan berharap tahun yang akan datang jauh lebih baik. Namun begitu, perlu kita beringat. Dari pengharapan wujudnya persangkaan. Dengan berharap pada Allah, juga pada manusia persangkaan kita perlu sentiasa baik agar hati mudah menerima dengan lapang dada sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.




jangan mengadu atau meminta sesuatu hajat kepada selain Allah, sebab DIA sendiri yang memberi dan menurunkan hajat itu kepadamu. Maka, bagaimanakah sesuatu selain Allah akan dapat menyingkirkan sesuatu yang diletakkan oleh Allah. Siapa yang tidak dapat menyingkirkan bencana yang menimpa dirinya sendiri, maka bagaimanakah akan dapat menyingkirkan bencana dari lainnya.”


Syaikh ibnu Athoillah, Al-Hikam


‘Bencana yang menimpa dirinya sendiri’ boleh kita fahami secara signifikan sebagai konflik dalaman atau cabaran diri. Mulut mudah berbicara, mengungkap kebaikan. Tetapi ingin membentuk hati agar akal dapat diluruskan tidak semudah yang kita sangkakan. Apapun, jawapan bagi segala kekusutan dan persoalan akan terjawab jika kita terus bersandarkan pada Allah dengan meletakkan harapan kepada DIa kerana segalanya baik dan buruk itu daripada-Nya. Masalah yang sering berlaku pada kita apabila di permulaan niat kita boleh meletakkan harapan hanya pada Allah, tetapi setelah ditimpa musibah niat kita menjadi goyah. Inilah yang boleh dikatakan sebagai bencana yang menimpa diri. Niat kita yang baik tadi sudah mula tercemar sehingga kita gagal bersangka baik dengan Allah.

Jika engkau tidak bersangka baik terhadap Allah swt kerana sifat-sifat Allah yang baik itu, sengkalah baik kepada Allah kerana kurnia pemberian-Nya kepadamu. Tidakkah selalu DIA memberi nikmat dan kurnia-Nya kepadamu?”


Syaikh ibnu Athoillah, Al-Hikam



Jika dihitung antara nikmat dan musibah, jarang sekali musibah yang kita perolehi lebih banyak dari nikmat yang dianugerahkan. Sering juga kita melihat musibah sebagai satu perkara yang besar sehingga memadam perasaan syukur kita terhadap nikmat pemberian Tuhan. Lihat sahaja satu titik hitam pada kertas berwarna putih. Pandangan kita lebih tertumpu pada titik hitam tersebut. Oleh itu, sekiranya kita gagal bersangka baik terhadap Allah setelah pengharapan kita tidak seperti yang diharapkan, atau kita gagal bersangka baik dengan Allah atas sifat-sifat kesempurnaan-Nya, maka bersangka baiklah disebabkan nikmat dan kebaikan yang kita pernah terima dari DIA.


DIA tempat mengadu


Akhir-akhir ini, banyak sungguh musibah dan peringatan yang Allah beri. Dalam keadaan dunia menghampiri penghujung usia, menghabis sisa-sia senjanya, banyak juga yang kehilangan nikmat Iman dan Islam. Ujian yang turun bertalu-talu mengundang rasa nikmat keTuhanan. Tidak kurang juga membawa kita ke garisan kekufuran dek kerana lemahnya hati bersangka baik dengan Allah. Disebabkan kerana tunduk pada nafsu dan emosi kita gagal memahami teguran dari Dia. Hidup yang bergelumang dengan dosa zahir dan batin perlu akan penawarnya. Penawar bagi hati sudah tentu ingatkan Allah, membaca al-Quran dan ingatkan mati. Namun tidak semua mampu mengikut cara yang sama. Membaca al-Quran tanpa memahami maknanya, sukar untuk kita menghayati kalamullah itu. Walaubagaimanapun, dalam melaksanakan ketiga-tiga cara itu perlu dimulakan dalam diri kita. Hati yang sedia berbicara, bermuhasabah dan mengadu hanya pada DIA, mudah-mudahan beroleh ketenangan dan kebahagiaan dalam beramal.

Hayatilah litik lagu ini. Daripadanya kita temui hakikat hamba dan Tuhan. Hayatilah dengan mata hati, renungi setiap baitnya dan letakkan diri kita dalam kasih sayang Tuhan.

Tuhanku ampunkanlah segala dosaku
Tuhanku maafkanlah kejahilan hambaMu

Ku sering melanggar laranganMu
Dalam sedar ataupun tidak
Ku sering meninggalkan suruhanMu
Walau sedar aku milikMu

Rangkap kedua ini memperlihatkan hakikat kita sebagai hamba yang sentiasa dinodai dosa. Dosa yang kita sedar akan hukumnya, dosa yang kita tahu larangannya. Dosa yang kita lakukan sama ada ketika kita sedar atau tidak. Bermulalah dengan merasakan diri sebagai hamba yang berdosa dapat melahirkan perasaan kerdil di hadapan DIA.

Bilakah diri ini 'kan kembali
Kepada fitrah sebenar
Pagi kuingat petang kualpa
Begitulah silih berganti

Rangkap berikut ini sangat jelas tentang pengharapan kita kepada fitrah sebenar, fitrah kejadian manusia yang bersih. Dan juga disebabkan kealpaan kita yang kadangkala kita mampu berubah, kita berazam untuk berakhlak baik. Tetapi kita tewas dengan nafsu, kita alpa dengan dosa. Maka tersungkurlah kita kembali.

Oh Tuhanku,
Kau pimpinlah diri ini
Yang mendamba CintaMu
Aku lemah aku jahil
Tanpa pimpinan dariMu


Ku sering berjanji di depanMu
Sering jua ku memungkiri
Ku pernah menangis keranaMu
Kemudian ketawa semula

Berapa banyak pula azam yang kita tabur, janji yang kita ungkap dalam jalan menuju kepada Tuhan, Berapa lapis pula topeng yang kita pakai yang hanya sekadar menyembunyikan diri kita sebenar. Ada masa kita menangis menginsafi sejarah hitam kita, menangisi laman-laman kelam kehidupan kita. Cuba ungkapkan bait ini. Ku pernah menangis keranaMu
Kemudian ketawa semula. itulah diri kita sebenar.

Kau pengasih
Kau penyayang
Kau pengampun
Kepada hamba-hambaMu

Selangkah ku kepadaMu
Seribu langkah Kau padaku

Tuhan,
Diri ini tidak layak ke syurga-Mu
Tapi tidak pula aku sanggup ke neraka-Mu

Kutakut kepada-Mu
Ku mengharap jua padaMu
Mogaku 'kan selamat dunia akhirat
Seperti rasul dan sahabat

Duhai sahabat, teman, rakan, taulan. Luangkanlah sedikit masa kita mengadu pada-Nya. Kita mengukur kebaikan kita melalui pandangan mata manusia. Kita merasakan sudah cukup amal kita, malangnya ia adalah sia-sia. Jalan menuju hati perlu bermula dengan langkah pertama. CInta Allah, kasih sayang Dia yang tidak pernah putus sering sahaja kita butakan. Bersungguh benar mengejar kebahagiaan dunia nikmat sementara sampai kita lupa bahagian hidup kita untuk mencintai-Nya. Lirik lagu ini bukan sekadar penyegar halwa telinga. Bersama kita mula mendidik hati dengan memburu kasih sayang-Nya kerana DIA tempat mengadu.

sup gigi


sup gigi














Sudah beberapa hari aidil adha dilewati. Antara hari kebesaran Islam yang mempunyai signifikan tersirat di sebalik lipatan sejarah Nabi Allah Ibrahim. Sebagai hamba, sememangnya tugas kita untuk sentiasa bersyukur dan bersabar. Tangisan mangsa runtuhan tanah di Bukit Antarabangsa seakan diiringi dengan turunnya hujan dari perut langit yang tidak henti-henti. Biar apapun keadaan kita, setiap kejadian hanyalah sedikit dari ujian dan kasih sayang Allah. Tidak perlu mencari salah siapa, melepaskan emosi dan perasaan di sebalik celahan runtuhan tersebut sekiranya sehingga kini kita gagal mengaitkan perasaan keTuhanan itu. Walaubagaimanapun, penulisan kali ini tidak mahu berterusan mengundang kesedihan. Hanya sekadar perkongsian buat pengubat duka barangkali.

Seperti umat Islam yang lain, ku tidak terkecuali menerima daging korban. Ada yang diberi mentah dan ada yang sudah siap dimasak. Saat ini terfikir apa yang akan dimakan oleh mangsa runtuhan Bukit Antarabangsa, apatah lagi nasib umat Islam yang masih dibelenggu kemiskinan. Bagaimanapula dengan nasib umat Islam lain. Lebih-lebih lagi nasib umat Islam di Bait al-Maqdis. Tatkala inilah kita melihat betapa hikmah daging korban diagihkan kepada orang Islam yang miskin dan tidak berkemampuan meletakkan setiap umat Islam adalah sama taraf.

Sedang asyik melayan fikiran yang terbang entah ke mana, pantas sahaja tanganku mencapai sup daging yang diberi jiran malam semalam. Asap-asap berkepul selepas lauk tersebut dipanasi abah memancing selera yang membungkam. Erkkkkkkkk... Tiba-tiba selera kumati.
Tahu tak apa yang kutemui di sebalik enaknya sup tersebut? Sebaris gigi si korban bernama lembu sedang memutih menunggu dijamah. Apapun kuhanya mampu melihat sahaja. Keinginan untuk menjamah daging tersebut hilang bersama kepulan asap. Ada gigi dalam sup ini..Hish, sukar untuk kupercaya. Seakan gigi manusia sahaja susuknya. Ahli keluargaku yang lain hanya berderai ketawa. Masakan tidak, tidak pernah kudengar ada orang makan gigi lembu pada hari raya korban. Bukanlah kubermaksud ingin kufur nikmat atau tidak bersyukur. Cuma hanya terkeliru dengan kejadian yang berlaku.

Bolehkah sesiapa beritahu atau maklumkan padaku, ada mana-mana resepi gigi lembu? Atau memang ada orang masak sup dengan gigi lembu? kalau ada, aku sanggup berguru dengan chef tersebut. Akhir kata alkisahnya, biar la pelik pun yang kita dapat, itu jauh lebih baik daripada tidak mendapat apa-apa langsung. Semoga kisah yang kualami tadi tidak berlaku kepada sesiapa pun, atau siapa yang pernah alaminya, kongsilah pengalaman tu ya. salam aidiladha..

kayu ukur dunia












Pada saat entri ini ditaip, mungkin manusia yang bergelar pelajar, atau penuntut ilmu rata-rata sudah memperolehi keputusan peperiksaan. Kepada yang belum, jelaslah penantian itu satu penyeksaan. (pada yang menanti sangat-sangat la) Apapun, segalanya dikembalikan kepada Yang Maha Esa. Sama ada kita bersedia menerima dengan syukur, atau kita tewas dengan kufur. Hikmah yang kita tahu di sebalik setiap kejadian adalah perkiraan kita atas keterbatasan kita sebagai manusia, tetapi hikmah mutlak hanya Allah sahaja yang tahu. Sememangnya atas keterbatasan kita sebagai manusia, setiap perkara kita ukur dengan kayu ukur dunia. Setiap benda kita mengambil kira pandangan manusia. Hal ini disebabkan pergantungan hidup kita dengan manusia yang lain sangat perlu dan perkara ini ditekankan lagi dalam kalam Allah sebagai hablu min an-Nass (hubungan sesama manusia).

Mungkin kita tidak sedar, terlalu mengambil kira pandangan manusia, kita sering membuat percaturan yang salah. Atau paling tidak, kita sukar untuk menerima suratan yang berlaku dengan lapang dada. Lebih-lebih lagi, kita sendiri telah tercorak dengan sistem pendidikan yang memandang kecemerlangan akademik sebagai kayu ukur pelajar bijak. Maka, lahirkan golongan exam oriented yang hanya menghabiskan masa dengan pola hidup belajar, belajar dan belajar. Tidak dinafikan hidup sebagai pelajar, memang kerjanya belajar. Tetapi kita silap jika ilmu yang kita perolehi hanyalah dalam lingkungan kelas, buku-buku nota dan pelajaran sahaja. sehinggakan pada yang memperolehi Gred Akumulatif (CGPA) tinggi, golongan inilah yang dikatakan cemerlang, bijak dan pandai. Dan yang memperolehi keputusan yang rendah sudah tentu menghadapi keadaan inferiority complex atau perasaan rendah diri. Adakalanya rasa malu berhadapan dengan orang lain, atau bersikap menyendiri. Pada yang terlibat dalam organisasi, persatuan mahupun jemaah, adakalanya kita mudah futur dan putus asa kerana menyangka ianya sebagai punca kegagalan.

Melihat pada keadaan ini, nyatalah kita lebih suka mengukur dengan kayu ukur dunia. Segala-galanya bagi kita adalah kebaikan, kecemerlangan dan kebijaksanaan yang dilihat dari pandangan lahiriah. Kita mudah rasa kecewa, jika kita berharap sesuatu itu tidak seperti yang kita impikan. Apalah sangat, kecemerlangan lahiriah kalau tidak kita suburkan segala pengharapan hanya pada DIA. Teringat seorang sahabat membuat perbandingan, antara orang yang berlajar hanya kerana kecemerlangan dan memperolehi hasil yang baik dengan orang yang belajar kerana ilmu Allah dan keinginan untuk memanfaatkan ilmu itu kepada orang lain tetapi memperolehi hasil yang teruk. Nyatalah, Allah hanya memandang pada usaha kita bukan pada hasil. Justeru, kenapa perlu kita mengambil pandangan manusia, dari pandangan Allah sendiri? Mengapa harus kita mengukur dengan kayu ukur dunia, hakikatnya skala kayu ukur akhirat jauh lebih besar?

Dari satu sudut lain, melihat kebaikan dari amalan yang kita lakukan adakalanya kita mudah rasa lupa diri. Kerana merasakan diri sudah terlalu baik, lebih beramal berbanding orang lain, kita sering tertipu dengan diri sendiri. Saat inilah kita mengukur amalan dengan kayu ukur dunia. Frasa "sekurang-kurangnya aku.." sering menjadi mainan bibir dan berlegar di hati, tanda betapa KITA MERASAKAN DIRI lebih baik daripada orang lain. Berhati-hatilah sekiranya perkara ini berlaku. Takut-takut, nikmat dan kemudahan yang Allah berikan menjadikan kita istidraj pula. Berpenampilan baik, warak, bertudung labuh, berkopiah sememangnya merupakan gambaran dan imej orang yang menjaga amalan. Tetapi berhati-hatilah apabila timbul perasaan riak dan bangga. Merasakan diri terlalu beruntung kerana sentiasa berada di jalan Allah, hakikatnya ramai lagi yang perlu dibantu.

Menjadi fitrah kita suka akan perkara baik. Pada ketika inilah sering kita mengukur manusia dengan ukuran dunia. Dan betapa pandangan manusia yang terbatas ini sering menipu dengan gambaran tipikal orang-orang yang 'baik'. Bagaimanapun, tiada alasan untuk takut atau malu melakukan kebaikan. Apa yang perlu dipantakkan dalam diri adalah kita mengambil kira setiap amalan kita, setiap pandangan kita diukur dengan perkiraan dan pandangan Allah. Rasulullah bersanda:

"yang paling kucintai di antara kamu. dan yang paling dekat duduknya denganku di hari kiamat nanti adalah yang paling baik akhlaknya."

Hadis riwayat ibnu majjah ini harus menjadi galakan bagi kita untuk berakhlak dengan akhlak yang baik, dan berhati-hati dengan ujian hati agar kita tidak menjadi mangsa manusia yang sering mengukur dengan ukuran dunia. Renungilah madah dari ulama' mursyid ini sebagai penutup.

"Jika kita mengharapkan sesuatu bukan kerana Allah, jika kita dapat, kita berbangga. Tetapi jika kita tidak dapat kita akan kecewa. Jika kita mengharapkan sesuatu kerana Allah, jika kita dapat kita gembira, jika tidak kita akan tetap merasa tenang, lapang dan bahagia."

GRIDIRON GANG















Bicara wadah penjana minda kali ini menjurus pada sebuah filem barat berjudul Gridiron Gang. Pertama kali menonton, sememangnya filem ini sangat memberi kesan dan motivasi. Banyak aspek yang boleh kita pelajari dan kaitkan dalam kehidupan terutamanya bagi hamba Allah yang memilih jalan da'wah. Ditunjangi Dwayne Johnson sebagai teraju utama, filem ini mengambil latar tempat di sebuah Pusat Juvana Kem Kilpatrick atau di sini lebih kita fahami sebagai pusat pemulihan akhlak. Filem arahan Phil Joanou ini adalah berkisarkan realiti sebenar dan dilakonkan dalam bentuk filem oleh The Rock, Jade Yoker (weathers), david Thomas (kelvin) dan lain-lain tanpa sedikit pun mengubah dialog asal, perwatakan bahkan nama karektor sebenar.

Tidak perlu mengulas plot keseluruhan cerita ini, adalah baik jika kita perhatikan nilai-nilai yang terdapat dalam Gridiron Gang. Sean Porter lakonan The Rock adalah watak yang memberi impak paling besar dalam membentuk perwatakan orang lain. Bukan mudah untuk berhadapan dengan manusia yang mempunyai sejarah silam yang kelam, sentiasa berputus asa, krisis identiti dan tiada pedoman. Pendekatan yang diambil adalah melalui psikologi. Sean Porter selaku jurulatih atau sebenarnya guru di pusat tersebut memainkan peranan yang besar terutamanya bagi menyatukan kesemua pelajar tersebut dalam satu kumpulan atau permikiran. Bagi mewujudkan wahdatul fiqh atau wahdatul amal bukanlah boleh dicapai dalam masa yang singkat. Memikirkan keadaan setempat (waqi'iyyah) di situ, Sean Porter cuba menarik perhatian penghuni pusat tersebut dengan menyertai American Football.

Antara sebab filem ini menjadi pilihan adalah kerana keberanian penulis skrip menyelitkan petikan dari bible. Sebuah filem yang berunsurkan jenayah dan keganasan juga mengakui bahawa unsur spiritual adalah penting dalam pembentukan jati diri. Jadi pembikin filem tempatan, bila lagi mahu selitkan petikan ayat al-Quran? Atau paling tidak unsur-unsur keTuhanan?

Semua manusia berperanan. Dalam kisah ini, pemilihan peserta sudah tentu diambil daripada mereka yang benar-benar berbakat, tetapi pada masa yang sama peranan pengangkut air dan penjaga peralatan tidak diketepikan. Begitu jugalah halnya kita. Tidak semestinya tanpa sebarang jawatan, tiada sumbangan yang kita boleh berikan terutama dalam pembangunan ummah. Nilai yang paling ketara boleh dipelajari bagaimana hubungan kekeluargaan sangat penting terutama dalam menghadapi ahli keluarga yang bermasalah. Jahat bagaimana sekalipun manusia itu, pasti ada sekelumit keinginan membuat baik. Ketika berhadapan dengan manusia yang sedang amarah Sean Porter, jurulatihnya cuba membangkitkan kebaikan dalam diri individu tersebut. Pendekatan ini yang boleh kita ambil ketika berhadapan dengan mad'uu yang berbeza fikrah.

Seperti filem tipikal barat yang lain, bahasa-bahasa kesat adalah budaya dalam kehidupan mereka. Namun, melihat pada aspek motivasi filem ini jauh lebih baik dari kebanyakan filem tempatan kita. Sentiasa rasional dan tidak terburu-buru membuat keputusan dapat dilihat dalam babak tertentu filem ini. Pengaruh rakan sebaya, dan pendorong adalah bermula dari diri sendiri. Peranan jurulatihnya adalah sebagai pemangkin semangat. Untuk mencetak kader-kader dalam dunia da'wah, tidak semestinya kita memilih golongan tertentu. Tetapi peranan kita adalah pendorong kerana yang akan berubah adalah individu itu sendiri. Lebih-lebih lagi Rasulullah sendiri bersabda,

"Hanya kamu mengetahui urusan duniamu.."

Usaha pertama belum tentu berhasil. Dalam filem ini mereka tidak mudah menempa kejayaan. Tambahan pula sebagai pemain Football yang pertama memasuki padang, berapa kerat sangatlah yang datang memberi sokongan. Babak ini boleh kita renung dari perspektif da'wah. Untuk menyeru ke arah kebaikan bukanlah mudah. Bahkan ada juga yang menghalang. Namun, Allah tidak memandang padahasil usaha kita kerana hidayah adalah hak mutlak Allah. Firman-Nya:
"kamu tidak boleh memberi hidayah pada siapa yang kamu suka, tetapi Allah yang memberi pada siapa yang dikehendaki-Nya"

Sebagai penutup, filem barat ini juga perluditeliti dan difahami jalan ceritanya agar kita sentiasa mendapat manfaat, dan mengambil iktibar. Sekiranya watak pendakwah boleh dihidupkan oleh orang yang bukan beragama Islam, kita yang sentiasa memikul amanah khalifah dan hmba ini, patutnya lebih baik daripada mereka. Justeru, jangan mudah mengalah menyeru ke arah kebaikan. Gunakan teknik yang pelbagai serta menyantuni sasaran da'wah kita. Bersedialah untuk belajar, mengajar dan diajar. Peringatan bersama.

p/s: renung-renungkan, dan selamat beramal







mereka istimewa...
















Bayangkan berada di dalam kondisi mereka. Dunia tanpa warna, hanya berpandukan gerak rasa, bunyi (sebahagian dari mereka), derap langkah diatur hati-hati. Kadangkala tersungkur atau tersadung. Namun mereka tetap istimewa. Mereka bahkan jauh lebih baik daripada kita. Sememangnya Allah Maha Adil, dunia mereka tanpa warna, tetapi jiwa dan hati mereka bersih tidak ternoda. Jauh berbeza dengan kita. Kita sering alpa dengan mafhum surah ar-Rahman.

"nikmat Tuhanmu yang manakah, yang kau dustakan?"

Mereka tetap istimewa. Kehadiran mereka di dunia hakikatnya adalah pelengkap keseimbangan alam. Tanpa mereka, kita tidak mensyukuri nikmat dari Dia. Tetapi sememangnya kita bukan manusia yang bersyukur. Dunia mereka tiada cahaya. Tetapi mereka tetap istimewa, kerana hati mereka sentiasa bermata. Jiwa mereka sentiasa bahagia.

Sekadar bicara ini yang mampu diungkap ketika membacakan buku di Sekolah Pendidikan khas Setapak, Kuala Lumpur.
Kunjunganku buat kali kedua tidak sedikit pun melebur rasa kagum pada sahabat-sahabat yang istimewa ini. Bahkan, rasa iri hati dengan kurniaan Allah terhadap mereka. Ya, sememangnya mereka istimewa. Dikurniakan Allah hati yang bersih, sessi pembacaan buku kepada sahabat-sahabat ini tidak sedikit pun menyusahkan. Kerana apa? Kerana mereka istimewa.

Ketika kami membacakan buku latihan sains spm tingkatan 5, pantas sahaja tangan mereka menekan kekunci braille. Sedikit kesukaran bagi kami untuk menerangkan gambarajah sementelah pula mereka tidak boleh melihat, tetapi seperti yang dikatakan sebentar tadi, hati mereka celik. Mereka boleh mengingat bab berapa mengikut sukatan pelajaran, mukasurat berapa yang perlu ditekankan. Kebolehan mereka mengingat ini yang mengundang rasa cemburu di hati. Tidak hairanlah percubaan SPM salah seorang dari mereka ini agak baik. 5A bukanlah sedikit bagi kita. Lebih-lebih lagi dalam keadaan mereka yang tidak boleh melihat.


Di sinilah kita melihat betapa adilnya Allah. Tidak diujinya hamba itu melainkan sesuai dengan kesanggupan mereka. Di sebalik kekurangan pada pandangan mata kasar kita, terselit keistimewaan dan kebolehan yang luar biasa. Pokok pangkalnya adalah sejauh mana kita menerima kekurangan untuk mencari potensi diri. Dalam keadaan kita yang cukup sifat, yang boleh melihat ini ke mana pandangan mata kita?

Dan sememangnya mereka istimewa...




sains, seni dan falsafah









Sudah sekian lama maudhu’ ini berlegar-legar di ruang percaturan minda. Namun, tanpa kefahaman jitu, artikel ini tidak terlayang dalam ruangan maya. Dan, setelah melepasi semester pertama, mengenali dunia senibina, bergelumang dengan lukisan-lukisan, sebahagian dari maksud Senibina rekabentuk alam sekitar ini mula terungkai. Biar hanya menyentuh permukaan, dan sedikit menyelami tentang hibrah (pengalaman) insan yang disibukkan Allah dengan cara hidup yang berbeda, keberanian untuk berkongsi tentang apa itu sains, seni dan perkaitannya dengan falsafah mula membibit.

Sains adalah satu pemprosesan, menggunakan hipotesis, analisis, menghasilkan rumusan, teori, mencernakan idea, menyumbang kepada pembangunan teknologi dan maklumat, juga membantu meningkatkan kualiti kehidupan. Manakala seni pula adalah hasil daripada pemprosesan. Sebahagian sifatnya adalah subjektif dan abstrak, kadang-kadang sangat kompleks, menjadi satu produk yang boleh digunakan, meningkatkan daya hidup manusia.

Falsafah pula ialah satu disiplin ilmiah yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Perkataan falsafah dalam bahasa Melayu berasal daripada bahasa Arab فلسفة yang juga berasal daripada perkataan yunani Φιλοσοφία philosophia, yang bermaksud "cinta kepada hikmah". Secara umumnya, falsafah merupakan satu usaha pemikiran yang tuntas dan tujuannya adalah untuk mendapatkan kebenaran.

Sehingga kini, ahli-ahli falsafah masih belum mencapai kata sepakat mengenai takrifan falsafah. Malah ada yang mengatakan bahawa falsafah merupakan sesuatu yang tidak dapat ditakrifkan. Ini adalah kerana kita dapat berfalsafah tentang pengertian falsafah. Maka dengan itulah kita akan menemui pendapat yang berbeza-beza mengenai takrif falsafah di antara ahli-ahli falsafah itu sendiri. Bagi rujukan umum, di sini kita hanya mengambil satu contoh takrif falsafah daripada Drs. Sidi Gazalba:

Berfalsafah ialah mencari kebenaran dari kebenaran untuk kebenaran, tentang segala sesuatu yang dimasalahkan, dengan berfikir secara radikal, sistematik dan sejagat. Apabila seseorang berfikir demikian dalam menghadapi masalah mengenai hubungannya dengan kebenaran, adalah orang itu telah memasuki falsafah. Penuturan dan uraian yang tersusun oleh pemikirannya itu adalah falsafah. Daripada pendapat tersebut, rumusan dapat dibuat bahawa falsafah seharusnya ditanda dengan caranya iaitu berfalsafah, dan juga masalahnya iaitu persoalan falsafah. Maka hasilnya adalah karya falsafah.

Melihat pada takrif falsafah sahaja, definisinya panjang berjela. Tidak hairanlah rata-rata ummat melihat manusia yang hidup dengan dunia senibina berada dalam sempadan mereka sendiri. Bagaimanapun, persoalannya di sini adalah tentang perkaitan sains, seni dan falsafah bagi perkongsian kali ini . Justifikasinya, senibina merupakan salah satu bidang yang menekankan ketiga-tiga elemen di atas. Bahkan definisi senibina sendiri adalah satu seni sains yang berpandukan falsafah serta prinsip-prinsip. Tidak dilupakan, arkitek juga di dalam bahasa arab, al-mi'mar dikaitkan dengan imarah iaitu pembina tamadun manusia. Walaubagaimanapun, penulis bukanlah orang yang mempunyai kelayakan atau autoriti aktual dalam membicarakan tentang senibina ini, tetapi sekadar perkongsian secicip ilmu-ilmu dari selautan ilmu Allah.

Mengenali fasa pertama dunia senibina, penekanan diberikan kepada falsafah-falsafah arkitek terkenal seluruh dunia. Meis Van de Rohe dengan less is more, form follows function dari prinsip Louis Sullivan dan banyak lagi arkitek ternama menggunakan prinsip mereka sebagai satu gaya interpretasi dalam bentuk tiga dimensi. Nama-nama besar seperti Rem Koolhas, Zaha Hadid, Hani Rasyid, Frank Gehry dan ramai lagi berpegang pada prinsip dan falsafah mereka yang membentuk sains mengikut acuan seni.


Bahkan jika kita merenung kejayaan tamadun Islam dalam senibina, semuanya berbalik pada falsafah dan kefahaman mereka mengenai sesuatu kajian. Mengimbau lipatan sejarah pada era Uthmaniyyah, nama-nama besar seperti Sinan yangberjaya mengatasi seni bina zaman pembaharuan Barat menerusi pembinaan kubahnya, membentuk teknik pencahayaan semula jadi dan menghasilkan sistem akustik dalam bangunan tanpa alat pembesar suara.

Arkitek diraja Uthmaniyah itu mengalahkan arkitek Itali yang hanya mampu membangunkan beberapa kubah besar di gereja, sedangkan beliau membina ratusan kubah di masjid sekitar Turki. Sinan meletakkan kedudukan masjid sebagai pusat kegiatan pendidikan, kebudayaan, perniagaan, kebajikan dan pembinaan rohani. Pendirian dan prinsip Sinan yang meletakkan kedudukan masjid sebagai pusat utama menjadikan setiap hasil binaannya mempunyai fungsi yang mencakupi keperluan manusia. Hasil tangannya yang paling mengagumkan adalah Masjid Biru di Turki. Beliau yang berpegang pada falsafah menjaga hubungan manusia dengan Tuhan telah menunjukkan pengaplikasian falsafah dalam penghasilan seni menerusi sains. Yang paling membanggakan, beliau sendiri yang merupakan ulama pada zaman tersebut berjaya menemui pendekatan dan berbagai aplikasi teknologi seperti aerothermodynamic, civil, acoustic dan chemical, sedangkan formula matematik itu baru ditemui pada abad ke 20.

Kegemilangan Islam pada zaman dahulu dalam lapangan senibina sentiasa dicemburui tamadun barat sehinggalah kini mereka berusaha merampasnya. Disebabkan kegagalan kita memahami sejarah, perubah tamadun manusia pada zaman kini dipelopori oleh bangsa yahudi yang tidak sampai 10 juta penduduknya. Daniel Libeskind bukan sahaja mengejutkan dunia dengan senibinanya di Berlin iaitu Jewish Museum, tetapi proposal beliau terpilih bagi merekabentuk Menara Kebebasan selepas kehancuran World Trade Centre. Berpegang pada Liberal dan reform, Daniel Libeskind berjaya mempengaruhi juri dalam pertandingan tersebut. Namun begitu, tidak ramai yang mengetahui tragedi keruntuhan world Trade Centre itu adalah mainan politik yahudi dalam membina pengaruhnya. Dan kini, di celah robohan World Trade Centre itu bakal dibinanya Menara Kebebasan hasil senibina arkitek yahudi.

Bicara berkenaan arkitek, falsafah, senibina, perkaitan sains dan seni memang tidak akan habis. Walaubagaimanapun, kita sebagai umat Islam perlu sentiasa berusaha membangunkan ummat dalam segala aspek. Sekiranya bidang ini yang menggabungkan sains, seni dan falsafah menjadi pilihan, matlamat mengimarahkan umat perlu sentiasa ada dalam diri. Untuk itu, dengan berpegang pada prinsip, penghayatan dalam ibadah, dan kekuatan komuniti Muslim, mudah-mudahan di mana sahaja lapangan kita akan sentiasa dipelihara Allah.




TOM TOM BAK vs mari bertaranum


























Assalamualaikum dan salam ziarah. Artikel kali ini serasa pembaca dengan mudahnya boleh meneka atau menilai isi yang akan disampaikan. Sama ada penulis dirasakan jumud, konservatif atau tidak open minded, anda semua mempunyai hak untuk terus menegur, memberi pandangan dan kritikan. Selagi mana kita yang dinamakan manusia ini mempunyai secebis hati untuk memerhatikan, selagi itulah wadah penjana minda tidak berhenti memberi ruang pada otak dan akal untuk berfikir, untuk dijana.

Kalau dahulu media main peranan sebagai medium penyebaran maklumat, tetapi kini peranan media nampaknya lebih luas. Mencungkil bakat generasi akan datang datang dalam lapangan hedonisme salah satu peranan terbesar yang dimainkan oleh media elektronik misalnya. Tidak mahu bersikap defensif kepada mana-mana rancangan kanak-kanak di atas, penonton atau pembaca sendiri boleh menilai. Pada abad ke-21 ini generasi bagaimana yang akan dilahirkan. Bak kata Aznil Hj Nawawi ketika mengendalikan rancangan hiburan paling berpengaruh Akademi Fantasia, "pilihan di tangan anda".

Jika mahukan hiburan dan keseronokan kanak-kanak cilik mewarnai pentas lakonan dan nyanyian, bergelek dan berpakaian seksi sila sahaja menonton TTB. Jika inginkan hiburan yang mendidik jiwa dari kanak-kanak juga dalam alunan gema wahyu MB adalah alternatifnya. Perbezaan dan kontranya sangat jelas. Apalah sangat peranan yang boleh dimainkan oleh penonton selain terus menyokong dengan menonton bersama keluarga dan sanak saudara. Atau lebih mengujakan, menyokong dengan membawa anak-anak menonton secara langsung di hadapan mata. Atau lebih menyokong lagi, dengan memberi galakan pada anak-anak agar menyertai salah satu dari rancangan di atas. Natijahnya? Nantikan generasi yang akan datang bakal memimpin negara.

Sekadar mengisi masa lapang, apa salahnya? kata mereka. Tiada salahnya, tetapi kita yang bersalah jika membuat pilihan yang salah. Hatta menonton salah satu rancangan di atas, jiwa yang masih bersih lagi akan terus tercorak. Jangan nanti kita pula dipersalahkan matlamat dan cita-cita anak-anak ini terarah kepada benda-benda yang tidak bermanfaat. Kalau tengok dua-dua sekali bagaimana? Terpulang pada anda. Lagi sekali, pilihan di tangan anda.

Apa sahaja posisi kita, sebagai penonton, pelajar, ibu bapa, guru dan masyarakat kita sendiri sedar peranan yang patut dimainkan. Sekiranya hidup tanpa matlamat ibarat menembak tanpa sasaran menjadi pegangan, kita sendiri sudah sedar hasilnya. Jangan sesekali membiarkan diri kita menjadi sebahagian dari golongan manusia yang mati rasa, jiwa santai.

Renung-renungkan, dan selamat beramal!

p/s: patut tonton Pilihan Daie Kecil
Channel 5 Singapore
8.30 mlm, selasa.
Sebelum Maggie & Me. (siapa yang dapat siaran je)

kenapa belajar??

Bulan Julai ini menyaksikan kemasukan pelajar-pelajar lepasan SPM dan Matrikulasi ke pusat-pusat pengajian tinggi. Dilaporkan bahawa hampir 30ribu pelajar lepasan SPM tidak mendapat mana-mana tempat di pusat pengajian tinggi. Namun begitu, dengan lambakan pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan, penulis merasakan tiada masalah bagi mereka untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Fenomena ini, hakikatnya mentamsilkan bahawa betapa persaingan dalam dunia pendidikan begitu kuat dan keupayaan untuk seseorang mengawal emosi juga bergantung pada kondisi mereka sendiri. Adakah mereka cukup kuat dan tabah menempuh gerbang dunia globalisasi? Mampukah mereka menerima kenyataan bahawa keputusan pelajaran semata-mata tidak menjamin kedudukan dan tempat yang baik? Hanya pelajar yang bermujahadah sahaja mampu menghadapi sebarang masalah dengan rasional.

Mengupas dari fragmen akhbar yang menyiarkan tentang aduan beberapa pelajar matrikulasi yang tidak mendapat jurusan yang diinginkan. Ini tidak termasuk dengan beratus-ratus pelajar matrikulasi yang tidak mendapat tempat di pusat pengajian tinggi, meskipun memperolehi keputusan yang sangat baik. Apa yang menjentik hati penulis saat mata terpana menatap kata-kata yang lahir dari mulut pelajar melayu Islam dalam akhbar berkenaan adalah "susah payah saya belajar dalam bidang yang saya mohon, akhirnya saya mendapat bidang lain". "Sehari suntuk saya menangis memikirkan bidang saya perolehi tiada kaitan langsung dengan bidang yang saya pelajari sedangkan saya dan berusaha gigih semata-mata mendapat bidang yang saya inginkan."
Pada pandangan menulis, kata-kata pelajar tersebut mencerminkan kegagalan mereka mengawal emosi pada masa yang sama tidak menerima ketetapan Ilahi. Bukanlah niat penulis untuk menghukum mereka, tetapi dalam hal ini, perlulah kita menghayati mafhum firman Allah yang berbunyi, "Manusia merancang, Allah merancang, dan perancangan Allah adalah lebih baik" dikuatkan lagi dengan dalil "boleh jadi apa yang kita rasakan baik bagi kita, hakikatnya tidak baik. Dan benda yang kita rasakan buruk, adalah baik bagi kita..."

Adakah disebabkan dasar pendidikan negara kini telah mengubah landskap pemikiran pelajar kini yang menuntut ilmu semata-mata mendapat kerjaya dan bidang yang diinginkan? Mentaliti mereka seolah-olah telah ditanam satu cip yang memfokuskan tentang hakikat menuntut ilmu adalah memburu kerjaya dan gaji yang baik. Lambakan fragmen-fragmen akhbar dan majalah serta gesaan dari tenaga pengajar juga mendorong kepada anjakan pemikiran mereka agar menuntut ilmu semata-mata memperolehi kehidupan yang baik dan kerjaya yang mantap. Lupakah kita pada nasihat baginda Rasulullah yang menekankan keberkatan dalam menuntut ilmu?

Tidak hairanlah pelajar pada masa kini tidak mengutamakan adab-adab ketika menuntut ilmu kerana menganggap tanggungjawab mereka hanyalah belajar sehingga menggenggam segulung ijazah dan kemudian menjawat jawatan yang tinggi. Justeru, apabila memperolehi keputusan yang tidak diharapkan, adakah takdir perlu dipersalahkan? Memetik kata-kata al-imam alGhazali, "Ilmu itu adalah cahaya, dan cahaya Allah tidak akan diberi kepada orang-orang yang melakukan maksiat." Tuntasnya di sini, dasar pendidikan negara dan media memainkan peranan yang penting untuk mengasimilasikan hadaf atau tujuan menuntut ilmu dalam kalangan remaja supaya berpelantarkan keredhaan Allah. Kita tidak mahu melahirkan golongan intelektual dan intelegensia yang sentiasa mengutamakan kepentingan diri sehingga mengenepikan aspek-aspek agama. Kembalikan kegemilangan Intelegensia Islam pada zaman dahulu seperti aljazari yang mahir dalam senibina, ibnu hathim dalam penciptaan kamera dan ramai lagi.

benarkah sudah merdeka??


teringat kata-kata seorang teman ketika duduk bersembang di kafe. "benarkah kita sudah merdeka?" saat itu mata tertancap pada fragmen akhbar yang menyiarkan tentang kes rogol, bunuh, kebejatan masalah sosial, hiburan melampau, seks bebas dan lain-lain berita yang sudah 'biasa' menjadi sajian media. Secara tiba-tiba hati ini turut bersetuju dengan pandangan teman tadi. Kadang kala terdetik rasa kebimbangan bila laungan keramat oleh perdana menteri pertama kita dahulu kini bertukar jeritan muda-mudi yang bergaul bebas, nyanyian yang melalaikan dan suasana yang menjauhkan manusia dengan Tuhan. Hati ini bertambah takut apabila memikirkan pada 31 ogos nanti bakal menyaksikan tangkapan remaja islam yang berpesta, tidak pernah menemui titik noktah bahkan bertambah bobrok.

Kalau ditanya tentang pengertian kemerdekaan, pasti dari kanak-kanak hingga golong tua sekalipun mampu memberi jawapan. tetapi bagaimana dengan penghayatan? Adakah kita bersyukur dengan nikmat Tuhan? "Nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?" Barangkali tafsir dari surah ar-Rahman juga tidak dapat melembutkan hati kita yang makin keras dan hitam sehingga jauh dari Tuhan.

Kita sibuk memperkatakan tentang kedaulatan undang-undang negara tetapi pada masa yang sama kita gagal mempertahankan Agama Islam. Kita memberontak apabila negara kita dicaci, tetapi kita tidak pernah bertindak apabila agama dikeji. Apakah kita lupa daulah Islamiyah yang dibina Nabi Muhammad bermula dengan tertegaknya Islam? Tidakkah kita tahu tentang kejayaan Rasulullah yang mampu menyatukan semua penduduk berbagai bangsa dan agama di bawah satu daulah? Perlukah kita mengorbankan agama dan bahasa kita semata-mata mahu menjadi gah seperti negara Barat lain? Di manakah kita letak mata kita dari menyaksikan kegemilangan Islam ketika terbinanya Masjid Kordoba, sepanyol?

Semua persoalan ini hanya mampu dijawab sekiranya kita belajar dari sejarah, berusaha menghayati pengertian kemerdekaan yang patutnya disambut penuh kesyukuran bukan dengan hiburan yang melalaikan dan menyatukan umat Islam. Apa lagi yang mampu ku lakukan selain menyuarakan pandangan di ruangan maya ini. Adakah aku yang bersalah?

agenda mereka. tindakan kita??























Pada ketika ini, filem Evan Almighty telah ditayangkan di seluruh negara dan berjuta-juta penonton telah menyaksikan tayangannya atas tiket inginkan hiburan. Filem yang merupakan lakonan Steve Carell dan Morgan Freeman bukanlah filem pertama yang muncul dan ditayangkan dalam negara ini yang berbentuk menghina sensitiviti agama Islam. Bagaimanapun, ianya menjadi isu yang ingin dibangkitkan penulis atas sebab ketiadaan sensitiviti Lembaga Penapis Filem yang diterajui oleh orang melayu sendiri lantaran teguran dan bantahan oleh ulama' dan juga mufti.

Sebelum ini kita telah dipertontonkan dengan filem yang menceritakan tentang alam akhirat dengan mewujudkan imej malaikat seperti dalam cerita costantine, merpersonifikasikan Tuhan dalam Bruce almighty, malahan filem kisah nabi Musa 'Ten Commandment', kisah nabi Muhammad dalam Mohammad Mesengger of God', dan antara yang paling kontroversi 'The Passion of Christ'. Apapun alasan mereka, sudah terang lagi bersuluh filem-filem yang direka oleh orientalis barat sememangnya punya agenda untuk merosakkan orang Islam itu sendiri.

Buktinya, apabila orang Islam sendiri mempertahankan filem-filem tersebut, bersikat defensif tanpa alasan-alasan munasabah, sudah jelas menunjukkan agenda orientalis barat melalui serangan pemikiran sudah berjaya. Kenyataan peneraju LPF tentang filem Evan almighty ini sekadar imaginasi dan khayalan pembuat filem sudah tentu mentamsilkan betapa teguran dan kenyataan mufti dan ulamak tidak digunapakai. Tambahan pula, berapa banyak pihak tertentu khususnya media yang bangkit mempersoalkan tayangan filem ini? Mereka seolah-olah ambil sikap berdiam diri dan redha dengan tayangan filem-filem tersebut. Bahkan tidak henti-henti menekankan tentang perlunya keterbukaan dalam lingkungan masyarakat Malaysia.

Filem yang mempersonifikasikan Tuhan (memberi sifat manusia kepada Tuhan), dan menyentuh tentang misi menyelamatkan dunia dari banjir, dalam bentuk komedi tuntasnya mempersendakan sejarah yang dipercayai oleh umat Islam. Boleh juga dikatakan sejarah telah dikelirukan oleh golongan minimalis yang cuba melancarkan perang psikologi ke atas umat Islam. Penulis pasti sebahagian penonton yang menontonnya atas hujah hiburan sudah tentu gembira dan ketawa menyaksikan aksi spastik yang dilakonkan.

Maka jelaslah seperti yang termaktub dalam kitabullah di dalam surah alBaqarah ayat 120, mafhumnya:
"Orang-orang yahudi dan nasrani tidak akan redha (senang) kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: sesungguhnya petunjuk Allah itu adalah petunjuk yang benar. Dan sesungguhnya jika kamu MENGIKUTI KEMAHUAN MEREKA, maka Allah tidak lagi menjadi Pelindung dan Penolong bagimu"

Oleh itu, sebagai golongan yang peka terhadap isu ini, tindakan kita tidak hanya bersikap skeptikal dan retorik apaabila bersuara lantang setelah musibah melanda negara kita. Perlunya golongan yang mempunyai autoriti untuk melakukan anjakan paradigma demi melahirkan hadaharatul Islamiyyah (Islam hadhari). Sekiranya sebatang skru dalam kereta mempunyai peranan yang besar untuk menggerakkannya, apatah lagi kita sebagai masyarakat meskipun hanya pelajar, bahkan kanak-kanak sekalipun.

Kata pepatah, "penyokong kesalahan adalah penindasan kebenaran". Sampai bilakah kita membiarkan diri dan pemikiran dijajah barat? Kembalikan identiti Islam dalam masyarakat. Mahukah kita ditindas oleh orientalis barat dalam negara kita sendiri. Ironinya dari filem tersebut, kita tidak mampu berpatah balik. Sebaliknya bersedia menghadapi apa jua bentuk propaganda orientalis barat yang bakal mendatang dengan berpelantarkan alQuran dan asSunnah.


televisyen dan ajaran sesat: mana lebih mudarat?



Rentetan dari peristiwa kumpulan ajaran sesat yang heboh diperkatakan penulis rasa terpanggil membawa topik ini untuk diperbicangkan. Televisyen dan ajaran sesat, mana lebih mudarat. Sekilas pandang, secara klisenya otak kita mencernakan jawapan yang memilih ajaran sesat sebagai satu medium keruntuhan agama dan aqidah yang sememangnya banyak mudarat. Namun begitu, sesekali ingin juga melawan arus. Televisyen yang dikatakan medium penyebaran informasi dan maklumat tidak kurang juga bertindak sebagai wahana keruntuhan akhlak dan agama. Penulis tidak menafikan, sebahagian dari pemikir-pemikir muda yang menatap artikel ini pasti tidak bersetuju dan sudah tentu melontarkan persoalan-persoalan tentang bagaimana televisyen yang dikatakan medium penyebaran maklumat dan informasi boleh disamakan seperti ajaran sesat. Cuba berdiri di kaca mata penulis. Pendekatan yang penulis cuba ambil ialah dalam keadaan majazi. Atau dalam bahasa mudahnya secara bukan hakikat. Rancangan-rancangan televisyen mutakhir ini lebih cenderung menyajikan hiburan samada dari barat atau tempatan itu sendiri. Tetapi siapa yang boleh menafikan rancangan-rancangan yang ditayangkan sedikit sebanyak mempengaruhi kehidupan dan landskap pemikiran manusia itu sendiri sehinggakan sebahagian dari masyarakat kini berorientasikan hiburan sebagai salah satu cara hidup.

Dan sekiranya Islam sebagai satu cara hidup telah diganti dengan hiburan yang melampau, tidakkah kita jauh lebih sesat. Atas dasar inilah dikatakan televisyen jauh lebih mudarat dari kumpulan ajaran sesat dari segi mempengaruhi pemikiran, akhlak dan persepsi masyarakat. Terpulang pada individu yang mengatakan penulis bersikap jumud dan tidak terbuka, kerana sudah tiba masanya kita bergerak atas kaki sendiri. Bebaskan diri dari penjajahan permikiran yang dibuat oleh orientalis barat.

Secara perbandingan yang boleh dibuat, ajaran sesat yang menyebarkan dakyah-dakyah mereka kebiasaannya menjadikan golongan professional dan sebahagian dari masyarakat yang ingin mendapatkan ilmu dan keredhaan Allah dengan cara yang mudah sebagai sasaran. Kontradiksinya di sini dengan televisyen yang menyampaikan rancangan tanpa memilih perbezaan umur, golongan dan latar belakang. Kalau kita katakan rokok sebagai pembunuh ‘senyap’, rasanya tidak salah jika dikatakan televisyen sebagai ‘kesesatan’ yang senyap. Dalam keadaan ini, berapa ramai masyarakat yang bersikap selektif untuk menapis rancangan-rancangan berbentuk milmiah dan hiburan yang dibenarkan. Sehinggakan rancangan yang terang-terangan menghina Islam dan konsep tauhid seperti Bruce Almighty dan Evan Almighty dipertahankan, tidakkah kita dalam kesesatan. Maka di sini kelangsungan daya fikir tidak berlaku kerana televisyen itu sendiri berjaya mempengaruhi prinsip yang dipertahankan. Berdirilah atas paksi kebenaran, bahawa selama ini kita wujud dalam dunia penuh stanza penipuan



haji:kerana adat atau ibadat?



kalam dimulakan dengan madah firman Allah:

"Apakah mereka yang memberi minuman kepada orang-orang yang mengerjakan ibadah haji dan menguruskan Masjid el-Haram, kamu samakan dengan mereka yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sudut Allah. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum Muslim yang zalim. Mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalahlebih tinggi darjatnya di sisi Allah, dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan."

(Surah al-Tawbah:19-20)

Bulan Zulhijjah bakal menjenguk, menyaksikan berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia menunaikan rukun Islam yang terakhir ini. Hal ini turut berlaku dalam msyarakat Islam di Malaysia. Bukan mudah menjadi umat yang terpilih oleh Allah untuk menjadi tetamu agung-Nya. Rentetan dari anggapan ini, tidak hairanlah jumlah penduduk Malaysia yang mengerjakan Haji sentiasa meningkat saban tahun. Tidak kira latar belakang bagaimana sekali pun, samada golongan marahain, berada, dari desa atau pun bandar, bahkan golongan artis turut sama membuat persediaan untuk menyahut seruan Allah Yang Satu. Pekerja-pekerja yang menguruskan bahagian penerbangan jemaah haji sehinggalah golongan yang mengendalikan pakej Haji turut sama merasa kesibukan.

Justeru, fenomena ini bukanlah asing terutamanya bagi masyarakat yang mengerjakan Haji setiap tahun disebabkan tiadanya had kemampuan bagi mereka. Bagaimana pun, ibadah ini bukanlah satu paksaan sehinggakan ada sesetengah pihak terlalu mendahulukan Haji dalam semua perkara. Bahkan, ada yang merasakan sudah lengkap Islam dengan hanya menunaikan haji. Sekiranya hal ini menjadi tanggapan pihak-pihak tertentu, eloklah dikaji dan direnung kembali firman Allah di atas.

Bukanlah sesuatu yang asing jika kita biasa mendengan dialog-dialog klise ini

"Bagus betul si fulan tu, setiap tahun kerjakan haji"

"Insya'Allah tahun ni saya akan kerjakan haji lagi seperti tahun-tahun yang lalu"

"Saya rasa, saya dah cukup mampu untuk menunaikan haji lagi"

Melihat pada ungkapan-ungkapan ini, terdetik di benak penulis, betapa sedihnya jika kita sendiri menjadikan ibadah itu sebagai satu adat. Sehinggakan matlamat asal untuk mencari keredhaan Allah dan mendapatkan haji mabrur hilang begitu sahaja.

Barangkali kita terlupa dengan kondisi masyarakat Islam di negara kita sendiri. Duit yang kita ada dilaburkan untuk mengerjakan haji tidak salah, tetapi yang menjadi salahnya kita tidak berterusan melakukan ibadah sekembalinya dari tanah suci. Bertitik tolak perkara ini, penulis rasa adalah lebih baik jika duit yang dilaburkan disumbangkan untuk membantu gerakan-gerakan Islam, pendidikan anak-anak Islam dan membasmi kemiskinan umat Islam

Pendapat penulis ini berdasarkan dari saranan Yusuf alqaradawi dalam kitabnya Fiqh al-Aulawiyat. Meskipun ada di antara kita yang mengatakan sumbangan terhadap Islam itu fardhu kifayah, sedangkan mengerjakan haji adalah fardhu Ain. Tetapi, tidakkan kita celik untuk melihat firman Allah di atas,:

Apakah mereka yang memberi minuman kepada orang-orang yang mengerjakan ibadah haji dan menguruskan Masjid el-Haram, kamu samakan dengan mereka yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sudut Allah.

Mendasari kondisi kini, masyarakat Islam sekarang amat memerlukan sumbangan dan bantuan terutamanya penduduk Islam di pedalaman. Kita tidak seharusnya membiarkan kerja-kerja ini dilakukan oleh orang bukan Islam yang kebanyakan mempunyai agenda tersendiri. Mubaligh-mubaligh kristian mendekati masyarakat Islam yang sangat memerlukan bantuan dan perlindungan. Natijahnya, kita sendiri menanggung akibat apabila beribu-ribu masyarakat Islam pedalaman menganut agama Kristian.

Cuba kita bayangkan, duit dari seorang jemaah Haji, jika dibelanjakan di jalan Allah, akan menyelamatkan beribu-ribu umat Islam yang kemarau kebajikan dan perlindungan. Walaubagaimanapun, tidak menjadi kesalahan bagi mereka yang benar-benar telah bersedia menjadi tetamu Tuhan. Dengan persediaan mental dan fizikal, bersihkan diri dan jiwa kerana kita pergi menghadap Malik al-Mulk, Raja sekalian Raja. Janganlah disebabkan kerana adat kita mengerjakan ibadah haji, kita terlupa perkara yang patut dilakukan seperti mantapkan rohani dan dekatkan diri dengan cinta Ilahi, berbanding kita terlalu membuat persiapan dari sudut lahiriah.

Lantaran itu, beringatlah sebelum terlambat. Disebabkan kita terlalu mengutamakan perkara-perkara dan ibadah yang bersifat inidividu, kita terlupa perkara yang menjadi kewajipan dan harus disegerakan. Jaminan Allah adalah sesuatu yang bersifat pasti.

"Tuhan mereka menggembirakan mereka dengan memberikan rahmat daripada-Nya, keredhaan dan syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang kekal"

(surah al-Tawbah:21)


indahnya mati


Dalam kita sibuk meraikan tahun baru Masihi, barangkali kita tidak seharusnya terlupa dengan sambutan tahun baru Islam. 1Muharam yang jatuhnya pada 11Januari 2008 hakikatnya membawa definisi yang lebih besar khususnya kepada umat Islam. Memetik kata-kata Ibnu Mas’ud. “Apa yang paling ku bimbangkan saat terbitnya matahari adalah umurku berkurang tetapi amalanku tidak bertambah.” Lantaran itu, masih adakah lagi sisa-sia hidup kita untuk ditumpahkan dengan agenda hiburan? Masih ada lagikah sisa-sisa hari kita untuk dipenuhi dengan gurau senda dan tawa? Hadirnya tahun baru, baik masihi mahupun Tahun baru Islam, manusia berlumba-lumba menanam azam. Bahkan melakukan penghijrahan dari sikap, persepsi, pemikiran dan akhlak yang buruk kepada yang baik. Dari yang baik kepada yang lebih baik. Hakikatnya setiap anjakan ini berlaku telah membawa umat manusia kepada Pencipta, iaitu menghampiri mati. Berusahalah kita dari dihidapi penyakit wahan. Iaitu, penyakit cintakan dunia dan takutkan mati.


Para sahabat Rasulullah saw, sentiasa bersedia menhadapi mati. Masakan tidak, dengan amalan dan ilmu yang mencukupi, mereka telah bersedia menemui Kekasih yang Kekal Abadi. Kerana kaya dengan cinta Allah, tiada ruang bagi hati-hati mereka dihinggapi dengan perkara yang melalaikan, apatah lagi penyakit wahan. Justeru, bagaimana pulanya kita? Madah pujangga dari Hassan al-Basri, “ keimanan itu bukanlah hanya sebuah hiasan dan bukan pula sebuah angan-angan, namun iman adalah sesuatu yang tertanam kukuh di dalam hati dan direalisasikan melalui aktiviti” Kata-kata yang cuba digambarkan oleh al-Imam Hassan al-Basri mempunyai signifikan yang jelas. Meminta agar setiap kekuatan iman yang dipantakkan dalam hati seharusnya disusuli tindakan. Diterjemahkan dalam bentuk perbuatan, dijadikan sebagai persediaan menghadapi kematian.

Maka, jelaslah, indahnya kematian bagi manusia yang sentiasa melakukan segalanya kerana keredhaan Tuhan. Penghijrahan dan anjakan yang dilakukan sentiasa bermanfaat bukan sahaja pada diri semata, tetapi pada umat manusia sejagat. Akhirnya, renungilah kalam dari ibn Qayyim. “ bergeraklah, kerana diam bisa mematikan. Sebesar-besar keuntungan di dunia adalah menyibukkan dirimu di setiap saat pada aktiviti yang memberi manfaat kepada orang lain.



Copyright © 2008 - wadah penjana minda - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template