ahlan wasahlan..wamarhaban bikum

wadah penjana minda

jalan menuju taubat
















Perjanjian kita sebagai hamba dan khalifah sudah termaktub ketika di louh mahfuz dan pernah terpateri ketika kita di alam rahim. Sebaik sahaja kita melihat dunia, peranan itu sudah mula terabai. Sedikit demi sedikit ianya terhakis. Bahkan sehingga satu peringkat kita melupakan perjanjian tersebut. Berdasarkan mafhum surah ini, apakah cukup berani untuk kita menafikan peranan tersebut?


Dan sememangnya dalam tempoh kehidupan kita betapa banyak dosa yang kita lakukan sama ada dosa kecil mahupun dosa besar. Penyelesaiannya mohonlah keampunan dari Tuhan. Mudahkan? Tetapi, bagaimana pula apabila kita melakukan dosa, kemudian kita bertaubat, dan kemudian kita kembali melakukan dosa. Tidak hairanlah ada yang beranggapan tidak mahu bertaubat kerana merasakan belum bersedia atau takut akan kembali kepada dosa. Sayangnya definisi taubat bagi kita semudah memohon keampunan dari Allah. Bibir mampu mengungkap doa, sayangnya hati tidak terikut sama. Itulah kelemahan kita sebagai manusia.


Dr ‘Aidh Abdullah al-Qarni pernah menyebut di dalam buku Pesanan Untuk orang berdosa, bahawa jalan menghampiri taubat atau mendorong untuk bertaubat ada beberapa faktor. Antaranya tidak panjang angan-angan. Kita merasakan yang kita masih lagi hidup selepas bertaubat, sebab itu kita tidak bersedia untuk bertaubat. Kita membimbangkan yang kita akan kembali kepada dosa sedangkan kita tidak pernah tahu penghujung usia. Sekiranya tidak bermula dengan taubat, masihkan kita ada kesempatan untuk terus hidup sama ada atas jalan kebaikan atau kembali kepada dosa? Oleh itu, berhentilah berangan-angan bahawa kita masih punya waktu selepas bertaubat. Berharaplah taubat dan keampunan kita diterima Allah itu jauh lebih baik dari kita memikirkan kehidupan kita selepas bertaubat.




dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): “wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini), kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan.” (lalu Allah menempelak mereka): Bukankah KAMI telah melanjutkan umur kamu dan member masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (KAMI) yang memberi amaran.”


Al-Fathir:37



Faktor yang seterusnya jalan menuju taubat adalah mengingati mati. Firman Allah dalam surah al-Jumu’ah ayat 8 yang membawa maksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): Sebenarnya maut yang kamu melarikan daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu DIA memberitahu kepada kamu apa yang telah kamu lakukan (serta membalasnya)




Selain itu dengan membayangkan azab Allah berupaya mendidik diri agar kita menyegerakan taubat. Letak sahaja tangan kita di atas api sebatang lilin. Selama mana kita mampu bertahan dan cuba letakkan diri kita sekiranya menjadi bahan bakar api neraka. Nau’zubillah min zalik, adakah kita masih punya berkesempatan untuk melengah-lengahkan taubat? Sempatkah kita mencari alasan? Api yang berada di dunia ini hanyalah sebesar lubang jarum sahaja jika ingin dibandingkan dengan api azab Allah. Dan akhir sekali, berharaplah agar taubat kita diterima dengan bersangka baik pada Allah. Dengan cara begini mampu memandu diri agar kita tidak terjebak ke lembah dosa. Dengan sentiasa mengingati nikmat Allah, maka seharusnya kita berasa malu kerana dalam keadaan kita kembali pada dosa kasih sayang Allah tetap luas. Semoga panduan ini sedikit sebanyak memberi kita satu kesempatan untuk segera menuju jalan taubat. Kembalilah seglanya kepada Allah kerana diri kita juga milik DIA.




0 comments:

Copyright © 2008 - wadah penjana minda - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template