ahlan wasahlan..wamarhaban bikum

wadah penjana minda

kenapa belajar??

Bulan Julai ini menyaksikan kemasukan pelajar-pelajar lepasan SPM dan Matrikulasi ke pusat-pusat pengajian tinggi. Dilaporkan bahawa hampir 30ribu pelajar lepasan SPM tidak mendapat mana-mana tempat di pusat pengajian tinggi. Namun begitu, dengan lambakan pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan, penulis merasakan tiada masalah bagi mereka untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Fenomena ini, hakikatnya mentamsilkan bahawa betapa persaingan dalam dunia pendidikan begitu kuat dan keupayaan untuk seseorang mengawal emosi juga bergantung pada kondisi mereka sendiri. Adakah mereka cukup kuat dan tabah menempuh gerbang dunia globalisasi? Mampukah mereka menerima kenyataan bahawa keputusan pelajaran semata-mata tidak menjamin kedudukan dan tempat yang baik? Hanya pelajar yang bermujahadah sahaja mampu menghadapi sebarang masalah dengan rasional.

Mengupas dari fragmen akhbar yang menyiarkan tentang aduan beberapa pelajar matrikulasi yang tidak mendapat jurusan yang diinginkan. Ini tidak termasuk dengan beratus-ratus pelajar matrikulasi yang tidak mendapat tempat di pusat pengajian tinggi, meskipun memperolehi keputusan yang sangat baik. Apa yang menjentik hati penulis saat mata terpana menatap kata-kata yang lahir dari mulut pelajar melayu Islam dalam akhbar berkenaan adalah "susah payah saya belajar dalam bidang yang saya mohon, akhirnya saya mendapat bidang lain". "Sehari suntuk saya menangis memikirkan bidang saya perolehi tiada kaitan langsung dengan bidang yang saya pelajari sedangkan saya dan berusaha gigih semata-mata mendapat bidang yang saya inginkan."
Pada pandangan menulis, kata-kata pelajar tersebut mencerminkan kegagalan mereka mengawal emosi pada masa yang sama tidak menerima ketetapan Ilahi. Bukanlah niat penulis untuk menghukum mereka, tetapi dalam hal ini, perlulah kita menghayati mafhum firman Allah yang berbunyi, "Manusia merancang, Allah merancang, dan perancangan Allah adalah lebih baik" dikuatkan lagi dengan dalil "boleh jadi apa yang kita rasakan baik bagi kita, hakikatnya tidak baik. Dan benda yang kita rasakan buruk, adalah baik bagi kita..."

Adakah disebabkan dasar pendidikan negara kini telah mengubah landskap pemikiran pelajar kini yang menuntut ilmu semata-mata mendapat kerjaya dan bidang yang diinginkan? Mentaliti mereka seolah-olah telah ditanam satu cip yang memfokuskan tentang hakikat menuntut ilmu adalah memburu kerjaya dan gaji yang baik. Lambakan fragmen-fragmen akhbar dan majalah serta gesaan dari tenaga pengajar juga mendorong kepada anjakan pemikiran mereka agar menuntut ilmu semata-mata memperolehi kehidupan yang baik dan kerjaya yang mantap. Lupakah kita pada nasihat baginda Rasulullah yang menekankan keberkatan dalam menuntut ilmu?

Tidak hairanlah pelajar pada masa kini tidak mengutamakan adab-adab ketika menuntut ilmu kerana menganggap tanggungjawab mereka hanyalah belajar sehingga menggenggam segulung ijazah dan kemudian menjawat jawatan yang tinggi. Justeru, apabila memperolehi keputusan yang tidak diharapkan, adakah takdir perlu dipersalahkan? Memetik kata-kata al-imam alGhazali, "Ilmu itu adalah cahaya, dan cahaya Allah tidak akan diberi kepada orang-orang yang melakukan maksiat." Tuntasnya di sini, dasar pendidikan negara dan media memainkan peranan yang penting untuk mengasimilasikan hadaf atau tujuan menuntut ilmu dalam kalangan remaja supaya berpelantarkan keredhaan Allah. Kita tidak mahu melahirkan golongan intelektual dan intelegensia yang sentiasa mengutamakan kepentingan diri sehingga mengenepikan aspek-aspek agama. Kembalikan kegemilangan Intelegensia Islam pada zaman dahulu seperti aljazari yang mahir dalam senibina, ibnu hathim dalam penciptaan kamera dan ramai lagi.

0 comments:

Copyright © 2008 - wadah penjana minda - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template