Tinggal beberapa hari sahaja lagi tabir 2008 akan berlabuh. Sepanjang tahun ini, ada beberapa perkara besar yang berlaku di negara kita. Kejadian penemuan gadis kecil bernama Nurul Jazlin Jazimin dalam keadaan yang cukup menyayatkan, disoroti pula dengan kehilangan adik sharlinie yang sehingga kini masih belum ditemui. Kisah keranda 152, kegagalan pihak tertentu mempertahankan perlembagaan negara sehingga perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sentiasa diteruskan, banjir-banjir besar, serangan wabak chikungunya dan yang terbaru tragedi runtuhan tanah di Bukit Antarabangsa serta banyak lagi peristiwa dan pencapaian yang terukir, adakah ianya cukup memberi kesan pada hati kita.
Selain akhir-akhir ini, peranan media dalam mendidik masyarakat mencintai hiburan semakin berjaya sehinggakan kisah di sebalik kain artis juga menjadi bahan utama, adakah kita juga turut menyumbang kepada pemujaan hedonisme? Atau berbakti dan bermanfaat pada orang lain, atau kita sekadar hidup dengan dunia kita sendiri? Kegemilangan insan yang menjadi artis dan kegagalan mereka dalam rumah tangga lebih menjadi tumpuan media berbanding orang-orang ilmuan yang datang ke negara kita, berbanding pencapaian ahli akademik anak tempatan. Apapun, segalanya hanya akan terpahat sebagai satu lembaran di tahun 2008 yang menyimpan segala episod kedukaan, kegembiraan, kekecewaan dan sebagainya.
Bagaimana pula dengan diri kita? Semakin baik atau semakin buruk? Dalam tempoh 10 tahun, 20 tahun, 30 tahun bahkan lebih, apa yang telah kita sumbangkan dalam pembangunan insan? Terhadap agama kita? Diri, keluarga dan masyarakat? Adakah kita ini sisa-sia yang lahir dari manusia yang pernah menerima didikan agama sejak kecil tetapi menjadi ‘hantu’ bila meningkat dewasa? Bertambah jahil? Amalan seperti orang yang tiada agama? Atau kita pernah bermula sebagai orang yang jahil, punya episod kelam dan sejarah hitam yang akhirnya berusaha mendekatkan diri dengan Tuhan dalam tempoh tersebut? Atau kita insan terpilih oleh Allah yang sentiasa istiqamah di atas jalan-Nya tanpa sedikit pun tercemar dengan persangkaan buruk terhadap orang lain? Sememangnya bukan mudah menjadi manusia sempurna tanpa sedikit pun dihinggapi debu-debu dosa.
"Barangsiapa yang mengajak ke arah kebaikan, maka ia memperoleh pahala sebagaimana pahala-pahala orang-orang yang mengikutinya, tanpa dikurangi sedikitpun dari pahala-pahala mereka yang mencontohnya itu, sedang barangsiapa yang mengajak ke arah keburukan, maka ia memperoleh dosa sebagaimana dosa-dosa orang-orang yang mengikutinya, tanpa dikurangi sedikitpun dari dosa-dosa mereka yang mencontohnya itu."
(riwayat muslim)
Inilah yang dikatakan saham akhirat. Dalam tempoh 20 tahun aku hidup, sebelum menjengah satu lagi tahun (sekiranya dipanjangkan usia), aku hanya mengenal kehidupan seawal usia 15 tahun. Selepas berlaku dua kehilangan dalam hidupku, banyak perkara yang telah kupelajari. Sekadar mendidik diri menjadi lebih matang. Perkara-perkara dan musibah secara tidak langsung dari Allah membuatkan aku lebih sedar dalam keadaan bagaimana sekalipun, Allah tidak pernah jemu memberi kasih sayang. Bermula sebagai manusia yang tidak mempunyai fiqrah, pencarian ilmu-ilmu Allah tidak pernah putus. Sehinggakan apabila ditanya bila tempoh tamat pengajian, suka aku katakan seluruh hidupku untuk mencari ilmu. Bahkan tiada tamat dalam pengajian. Para ulama’ pernah menyebut:
“ilmu itu berukuran 3 jengkal. Siapa yang baru tiba di jengkal pertama, maka dia akan memiliki sikap takbur dan bongkak. Siapa yang berada ke jengkal kedua, maka dia akan merendah diri. Dan siapa yang berjaya mencapai jengkal terakhir, ketika itu dia menyedari bahawa banyak lagi perkara yang tidak diketahuinya”
Pentingnya pencarian ilmu ini sebenarnya mendidik diri agar lebih menjaga hati. Betapa ramainya orang yang berilmu tetapi tidak diamalkan, mempunyai ilmu tetapi mempertikaikan kebenaran sehinggakan ada yang menuntut ilmu kerana ingin mencari kesalahan. Aku mengharapkan agar dalam tempoh pencarian ilmuku ini akan kuperoleh kasih sayang Tuhan. Dalam tempoh 20 tahun kehidupanku, peluang untuk berada di jalan Allah hanya menyapa beberapa tahun kebelakangan ini. Itupun sering sahaja langkahku goyah. Manusia sering tertipu dengan penampilan, tutur kata dan perlakuan kita, tetapi segala dosa yang tersembunyi sangat hina dan kotor sentiasa dalam pemerhatian Tuhan. Cukupkah beberapa tahun kebelakangan ini, kebaikan yang tidak pasti diterima Tuhan mampu menghapuskan dosa-dosa yang aku lakukan? Sepanjang 20 tahun kehidupanku, warna-warna kehidupan menjadi rencah diselangselikan dengan dosa manusia yang kerdil ini. Dosa dalam perhubungan sesama manusia dalam tempoh 20 tahun ini atau sepanjang tahun 2008, sudahkan terampun? Adakah ketika jasad ini diselimuti kain putih, tika itu baru akan terampun? Atau bagaiman pula jika tidak?
Melihat pada keadaan ini sahaja, aku semakin takut untuk menempuh usia yang baru. Memilih jalan dakwah, dan berdakwah perlu dengan ilmu, dengan kasih sayang. Kuatkah aku untuk meneruskan jalan pilihanku sendiri? Mampukah aku menyusuri jalan-jalan para anbiya’ dan ulama’? Hanya ini harapan dan peluang yang Allah campakkan dalam usaha aku memperbaiki diri. Semoga Hijrah yang bakal tiba membuka satu dimensi baru dalam kehidupanku, semoga terbukanya tirai tahun baru masihi membawa satu pengharapan yang jitu pada Allah, persangkaan yang baik pada Allah. Dan ketaatan yang baik pada Allah.
2 comments:
salam Maal Hijrah 1430H..
apa khaba?
jemputlah ke blog saya..mahu link?silakan.
hmm..mlm ni mrupakan mlm terakhir thn 2008..Smuga Allah menerima sgala amalan kita spanjang thn ini n sbelumnya serta mengampuni sgala dosa kita yg lampau..
Post a Comment