ahlan wasahlan..wamarhaban bikum

wadah penjana minda

sains, seni dan falsafah









Sudah sekian lama maudhu’ ini berlegar-legar di ruang percaturan minda. Namun, tanpa kefahaman jitu, artikel ini tidak terlayang dalam ruangan maya. Dan, setelah melepasi semester pertama, mengenali dunia senibina, bergelumang dengan lukisan-lukisan, sebahagian dari maksud Senibina rekabentuk alam sekitar ini mula terungkai. Biar hanya menyentuh permukaan, dan sedikit menyelami tentang hibrah (pengalaman) insan yang disibukkan Allah dengan cara hidup yang berbeda, keberanian untuk berkongsi tentang apa itu sains, seni dan perkaitannya dengan falsafah mula membibit.

Sains adalah satu pemprosesan, menggunakan hipotesis, analisis, menghasilkan rumusan, teori, mencernakan idea, menyumbang kepada pembangunan teknologi dan maklumat, juga membantu meningkatkan kualiti kehidupan. Manakala seni pula adalah hasil daripada pemprosesan. Sebahagian sifatnya adalah subjektif dan abstrak, kadang-kadang sangat kompleks, menjadi satu produk yang boleh digunakan, meningkatkan daya hidup manusia.

Falsafah pula ialah satu disiplin ilmiah yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Perkataan falsafah dalam bahasa Melayu berasal daripada bahasa Arab فلسفة yang juga berasal daripada perkataan yunani Φιλοσοφία philosophia, yang bermaksud "cinta kepada hikmah". Secara umumnya, falsafah merupakan satu usaha pemikiran yang tuntas dan tujuannya adalah untuk mendapatkan kebenaran.

Sehingga kini, ahli-ahli falsafah masih belum mencapai kata sepakat mengenai takrifan falsafah. Malah ada yang mengatakan bahawa falsafah merupakan sesuatu yang tidak dapat ditakrifkan. Ini adalah kerana kita dapat berfalsafah tentang pengertian falsafah. Maka dengan itulah kita akan menemui pendapat yang berbeza-beza mengenai takrif falsafah di antara ahli-ahli falsafah itu sendiri. Bagi rujukan umum, di sini kita hanya mengambil satu contoh takrif falsafah daripada Drs. Sidi Gazalba:

Berfalsafah ialah mencari kebenaran dari kebenaran untuk kebenaran, tentang segala sesuatu yang dimasalahkan, dengan berfikir secara radikal, sistematik dan sejagat. Apabila seseorang berfikir demikian dalam menghadapi masalah mengenai hubungannya dengan kebenaran, adalah orang itu telah memasuki falsafah. Penuturan dan uraian yang tersusun oleh pemikirannya itu adalah falsafah. Daripada pendapat tersebut, rumusan dapat dibuat bahawa falsafah seharusnya ditanda dengan caranya iaitu berfalsafah, dan juga masalahnya iaitu persoalan falsafah. Maka hasilnya adalah karya falsafah.

Melihat pada takrif falsafah sahaja, definisinya panjang berjela. Tidak hairanlah rata-rata ummat melihat manusia yang hidup dengan dunia senibina berada dalam sempadan mereka sendiri. Bagaimanapun, persoalannya di sini adalah tentang perkaitan sains, seni dan falsafah bagi perkongsian kali ini . Justifikasinya, senibina merupakan salah satu bidang yang menekankan ketiga-tiga elemen di atas. Bahkan definisi senibina sendiri adalah satu seni sains yang berpandukan falsafah serta prinsip-prinsip. Tidak dilupakan, arkitek juga di dalam bahasa arab, al-mi'mar dikaitkan dengan imarah iaitu pembina tamadun manusia. Walaubagaimanapun, penulis bukanlah orang yang mempunyai kelayakan atau autoriti aktual dalam membicarakan tentang senibina ini, tetapi sekadar perkongsian secicip ilmu-ilmu dari selautan ilmu Allah.

Mengenali fasa pertama dunia senibina, penekanan diberikan kepada falsafah-falsafah arkitek terkenal seluruh dunia. Meis Van de Rohe dengan less is more, form follows function dari prinsip Louis Sullivan dan banyak lagi arkitek ternama menggunakan prinsip mereka sebagai satu gaya interpretasi dalam bentuk tiga dimensi. Nama-nama besar seperti Rem Koolhas, Zaha Hadid, Hani Rasyid, Frank Gehry dan ramai lagi berpegang pada prinsip dan falsafah mereka yang membentuk sains mengikut acuan seni.


Bahkan jika kita merenung kejayaan tamadun Islam dalam senibina, semuanya berbalik pada falsafah dan kefahaman mereka mengenai sesuatu kajian. Mengimbau lipatan sejarah pada era Uthmaniyyah, nama-nama besar seperti Sinan yangberjaya mengatasi seni bina zaman pembaharuan Barat menerusi pembinaan kubahnya, membentuk teknik pencahayaan semula jadi dan menghasilkan sistem akustik dalam bangunan tanpa alat pembesar suara.

Arkitek diraja Uthmaniyah itu mengalahkan arkitek Itali yang hanya mampu membangunkan beberapa kubah besar di gereja, sedangkan beliau membina ratusan kubah di masjid sekitar Turki. Sinan meletakkan kedudukan masjid sebagai pusat kegiatan pendidikan, kebudayaan, perniagaan, kebajikan dan pembinaan rohani. Pendirian dan prinsip Sinan yang meletakkan kedudukan masjid sebagai pusat utama menjadikan setiap hasil binaannya mempunyai fungsi yang mencakupi keperluan manusia. Hasil tangannya yang paling mengagumkan adalah Masjid Biru di Turki. Beliau yang berpegang pada falsafah menjaga hubungan manusia dengan Tuhan telah menunjukkan pengaplikasian falsafah dalam penghasilan seni menerusi sains. Yang paling membanggakan, beliau sendiri yang merupakan ulama pada zaman tersebut berjaya menemui pendekatan dan berbagai aplikasi teknologi seperti aerothermodynamic, civil, acoustic dan chemical, sedangkan formula matematik itu baru ditemui pada abad ke 20.

Kegemilangan Islam pada zaman dahulu dalam lapangan senibina sentiasa dicemburui tamadun barat sehinggalah kini mereka berusaha merampasnya. Disebabkan kegagalan kita memahami sejarah, perubah tamadun manusia pada zaman kini dipelopori oleh bangsa yahudi yang tidak sampai 10 juta penduduknya. Daniel Libeskind bukan sahaja mengejutkan dunia dengan senibinanya di Berlin iaitu Jewish Museum, tetapi proposal beliau terpilih bagi merekabentuk Menara Kebebasan selepas kehancuran World Trade Centre. Berpegang pada Liberal dan reform, Daniel Libeskind berjaya mempengaruhi juri dalam pertandingan tersebut. Namun begitu, tidak ramai yang mengetahui tragedi keruntuhan world Trade Centre itu adalah mainan politik yahudi dalam membina pengaruhnya. Dan kini, di celah robohan World Trade Centre itu bakal dibinanya Menara Kebebasan hasil senibina arkitek yahudi.

Bicara berkenaan arkitek, falsafah, senibina, perkaitan sains dan seni memang tidak akan habis. Walaubagaimanapun, kita sebagai umat Islam perlu sentiasa berusaha membangunkan ummat dalam segala aspek. Sekiranya bidang ini yang menggabungkan sains, seni dan falsafah menjadi pilihan, matlamat mengimarahkan umat perlu sentiasa ada dalam diri. Untuk itu, dengan berpegang pada prinsip, penghayatan dalam ibadah, dan kekuatan komuniti Muslim, mudah-mudahan di mana sahaja lapangan kita akan sentiasa dipelihara Allah.




0 comments:

Copyright © 2008 - wadah penjana minda - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template