ahlan wasahlan..wamarhaban bikum

wadah penjana minda

Berguru pada diri sendiri

























Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

ika hari ini seorang Presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Bingkisan sebahagian daripada sajak nukilan allahyarham Usman Awang tentang guru sememangnya punya maksud yang jelas. Peranan guru sebagai arkitek bangsa, harus dihargai zaman berzaman. Sementelah pula guru merupakan kerjaya paling tertua di dunia. Sejarah bermula bagaimana Allah sendiri menciptakan Adam a.s. Kemudian diajari Adam a.s beberapa nama. Allah juga menguji para malaikat dengan soalan yang sama. Dan seperti yang semua ma'lum, peristiwa yang terakam dalam al-Quran menerusi surah al-Baqarah itu bukti bahawa Allah menjadi guru kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan jelaslah guru merupakan kerjaya tertua di dunia.

Cikgu, guru, mu'allim, murabbi, pensyarah, pengajar, pendidik, ustaz, ustazah atau apa sahaja istilahnya, asalkan berperanan memindahkan pengetahuan dan keterampilan kepada pelajar, menjadi medium perantaraan cinta manusia dan cinta Tuhan, menjadi sebaik-baik manusia yang dapat bermanfaat kepada orang lain bahkan mengajar waima satu huruf sekalipun, perlu kita sanjungi. Perlu kita hormati akan mereka. Golongan inilah yang membentuk peribadi individu sama ada menjadi manusia yang cemerlang dunia akhirat, atau manusia yang tersungkur dalam jenayah semasa.

Mutakhir ini, konflik institusi pendidikan kian meruncing, persilisihan antara ibu bapa, guru dan pelajar seolah-olah tidak menemui nokhtahnya. Apa sahaja yang boleh dinilai puncanya dari kaca mata masyarakat, sudah dibangkitkan. Pelajar semakin nakal atau melampau, Ibu bapa yang terlalu memanjakan ataupun guru yang bertindak keterlaluan. Tragedi saman-menyaman, heret guru, ibu bapa dan pelajar ke muka pengadilan dan lain-lain tindakan perlu dipandang serius akan kebejatannya. Peredaran zaman juga menyaksikan landskap permikiran masyarakat kini yang sukar menerima idea atau saranan yang pernah terbukti melalui lipatan sejarah. secara asasnya, perubahan hanya berlaku melalui daya fikir yang konstruktif. Usah terlalu mengejar penyelesaian atau alternatif ciptaan manusia, kerana kalam Allah sendiri punya jawapan. Sampai bila kita perlu tunduk dengan sistem ciptaan manusia terutama daripada ideologi barat, bahkan bangsa mereka yang dikatakan maju masih goyah. Lupakah kita dengan kejayaan tamadun Islam yang berdiri hampir lima ratus tahun?

Setiap musibah yang berlaku ada penyelesaiannya. Ingin mencipta tamadun melalui kuasa politik, cepat sahaja perubahan berlaku dan cepat sahaja kemusnahan tercipta. Ingin membentuk kemajuan melalui ekonomi, sehingga kini kita masih bergantung pada dasar kuasa dunia. Ringkasnya, perubahan hanya berlaku melalui pembinaan individu. Kemajuan bakal dijejaki melalui penguasaan kerajaan diri. Sekiranya guru digelar arkitek bangsa, maka, jadilah guru pada diri sendiri. Seandainya pendidik adalah pembentuk ummah, maka didiklah peribadi dahulu. Dan jika kerajaan berkuasa membangunkan negara, segeralah bangunkan kerajaan rohani.

Allah berfirman dalam surah al-Ra'du: 11 yang bermaksud:

" sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum,
melainkan mereka sendiri yang mengubahnya"


Bahkan mafhum dari surah al-Anfal:53

"yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah s.w.t sesekali tidak merubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada sesuatu kaum, hingga kaum itu merubah diri mereka sendiri"


Merenung kembali konflik institusi pendidikan negara. Dasarnya bermula dengan menjadi guru pada diri sendiri. Ibu bapa misalnya, adalah pendidik paling berperanan besar dalam kehidupan manusiawi. Pembentukan keluarga melalui pendidikan rabbani, menjadi contoh yang terbaik dalam membentuk suasana islami seterusnya bakal melahirkan pelajar rabbani. Pelajar yang beriorientasikan penghayatan akidah yang mantap, hasil acuan institusi keluarga sebagai pendidik, mampu menjadi guru pada diri sendiri. Berkemampuan menilai kebaikan dari pandangan Tuhan, dan berakhlak dengan akhlak al-Quran, nescaya di mana sahaja mereka ditempatkan, proses pendidikan rabbani itu sentiasa berterusan. Hasil yang lebih baik, guru-guru yang berupaya menjadi pendidik, yang tidak melihat material (gaji) sebagai perkara pokok, akan sentiasa memantapkan pengisian rohani pelajar dan menterjemahkan dalam bentuk praktikal mengikut kehendak semasa.

Bercakap atau menulis memang mudah. Namun begitu, soalnya adalah diri sendiri. Pengiktirafan atau peringatan hanyalah sia-sia sekiranya sikap pentingkan diri sendiri sudah menjadi duri dalam daging. Buatlah sebanyak manapun sambutan hari guru, ibu bapa, pelajar dan apa sahaja yang ingin kita namakan, jangan sesekali lupa tentang kualiti perubahan bermula dari diri sendiri. Dunia yang telah mendidik masyarakat mencintai material sukar untuk disekat kemaraannya, tetapi jangan lupa pada senjata yang kita ada. Ilmu dan Iman yang kini hanya tinggal picisan dimamah fatamorgana. Ilmu dan Iman yang hanya tertera pada lambang sekolah, juga ilmu dan iman yang hanya dikaitkan dengan ritual keagamaan.

Jangan sesekali kita lupa, setiap ibu dan bapa adalah guru. Setiap guru berperanan sebagai ibu dan bapa. Setiap guru pernah menjadi anak. Setiap ibu bapa bermula sebagai anak atau pelajar. Dan setiap anak atau pelajar bertanggungjawab menjadi guru pada diri sendiri. Maka kitarannya tidak akan terputus. Sikap tuding jari pada guru, atau pada ibu bapa, mahupun meletakkan kesalahan pada pelajar seolah-olah menuding jari pada diri sendiri. Lantaran itu, tidak ada pengkhususan hari-hari tertentu untuk insan berjasa melainkan setiap hari adalah hari guru, dan setiap hari merupakan hari ibu dan bapa. Kerna itu, jangan terlupa rangkap ini buat tatapan.


dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

3 comments:

Ikhtilaf said...

Amat tinggi tarafnya seorang guru itu. namun kini sekolah bukanlah satu tempat yang dapat dilihat sebagai kawasan terbaik untuk dirayakan anak-anak.

Saya sendiri merupakan seorang yang tidak menuruti disiplin di sekolah suatu ketika dahulu namun pasti tidak akan tergamak untuk menegakkan benang yang basah apabila didenda oleh guru.

Namun, hari ini amat berbeda sekali. Ibu bapa terlalu mudah meganggap guru itu sebagai sampah hanya kerana anaknya dicubit.

Jika begini keadaannya, saya amat pasti bahawa satu hari nanti guru akan hadir kesekolah tanpa perasaan 'mendidik' lagi kerana disekat oleh kebodohan ibu bapa sendiri.

Ikhtilaf said...

>>Terima kasih kerana mengunjungi blog saya..

Muhamad Aliemran Bin Norasid said...

melestari generasi murabbi
menjadi pendidik berjiwa rabbani bukan mudah..ada sahaja dugaannya

Copyright © 2008 - wadah penjana minda - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template