ahlan wasahlan..wamarhaban bikum

wadah penjana minda

PPSMI bukan sekadar sains dan matematik


Sudah sekian lama sepi tanpa sebarang topik, kali ini dirasakan amat perlu untuk meninggalkan beberapa catatan buat perkongsian ilmu. Juga boleh dianggap sebagai luahan perasaan dan juga emosi apabila semakin ramai pihak berdiri atas paksi logik semata-mata. Jika ditanya tentang isu PPSMI atau Pengajaran Pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, sudah tentu saya bersikap nasionalis. Sementelahan pula subjek wajib universiti iaitu Bahasa Melayu Lanjutan banyak memberi pendedahan dan menyingkap tentang sejarah bahasa Melayu itu sendiri.

Melihat pada isu ini yang giat diperjuangkan oleh sasterawan negara, sebahagian besar guru-guru, penulis, novelis, cerpenis, badan-badan bukan kerajaan, dan ramai lagi sehingga bertindak menyaman kementerian atas dakwaan mencabul perlembagaan 152, ramai juga bersuara sinis dan mempertikaikan tindakan tersebut sebagai sia-sia.

Apa yang ingin dibangkitkan dalam perkongsian kali ini, isu penentangan terhadap PPSMI bukan kerana takutnya terhadap cabaran menggunakan bahasa Inggeris. Bukan juga kerana tidak bersedia berubah, atau tidak berani menghadapi persaingan. Tetapi hakikat yang perlu umum ketahui, perlaksanaan PPSMI dalam tempoh 5 tahun ini tidak berjaya membuktikan hasrat mantan Perdana Menteri terhadap sistem pendidikan di negara kita. Bahkan, semakin ramai pelajar yang berjaya dalam akademik tetapi tiada kualiti. Melalui sistem yang sedang dijalankan inilah lahirnya pelajar-pelajar berorientasikan peperiksaan. Kerjanya menghafal setiap baris perkataan dan disalin semula di atas kertas peperiksaan. Maka tidak hairan jika melihat senario kini, lebih ramai pelajar perempuan berjaya dan cemerlang berbanding pelajar lelaki. (ini hanyalah pandangan peribadi)

Penentangan terhadap PPSMI adalah kerana pihak tertentu sudah menjalankan kajian dan melihat kepada kebarangkalian yang bakal berlaku. Bukan hanya sekadar taklid buta dan berdemonstrasi di jalanan. Sekiranya masyarakat memberi hujah, Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris perlu dikekalkan kerana ianya dapat memahirkan pelajar dalam pengajaran bahasa Inggeris. Perlu diperhatikan secara telus, apakah benar dan terbukti Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dapat memantapkan bahasa Inggeris? Sedangkan berapa banyak kosa kata yang terdapat dalam matapelajaran Sains dan Matematik menggunakan tatabahasa inggeris. Apa yang diperhatikan sebahagian besar perkataan saintifik dan eksperimen masih kekal seperti sebelum Sains dan Matematik ditukarkan kepada bahasa Inggeris.

Soalan yang seterusnya perlu diajukan kepada pihak yang benar-benar ingin mengekalkan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Sebenarnya, apakah matapelajaran yang perlu dikuasai para pelajar? Bahasa Inggeris, atau sains dan matematik? Sekiranya kita masih lagi keliru dengan soalan ini, dan masih lagi memikirkan jawapannya, dalam keadaan itu semakin ramai pelajar berorientasikan peperiksaan dilahirkan, penipuan dalam graf peperiksaan dan jurang perbezaan pelajar bandar dan luar bandar menjadi ketara. Makanya lebih baik kita mahirkan para pelajar dengan bahasa Inggeris, seperti menjadikan proses pembelajaran bermutu dan menarik, memfokuskan pada satu-satu matapelajaran. Bahkan, jika kita ingin para pelajar menguasai sains dan matematik, ajari mereka dengan bahasa kebangsaan agar mereka lebih mudah memahami dan memberi tumpuan. Jalan penyelesaiannya mudah. Tetapi perlaksanaan menjadi sukar dan payah dek kerana masih ramai lagi berdegil dan ego dengan perlaksanaan yang belum terbukti berjaya.

Sebelum kita melihat jauh ke hadapan, lebih baik kita menyingkap sejarah negara kita satu tika dahulu. Peristiwa tulisan jawi dimansuhkan sehingga kini meninggalkan kesan yang ketara apabila ramai generasi kini tidak boleh membaca tulisan jawi. Hal ini bermakna, mereka juga menghadapi kesukaran membaca al-Quran. Jangan disalahkan institusi kekeluargaan apabila gagal mendidik anak-anak, sedangkan suasana dan corak pendidikan sendiri membentuk lanskap permikiran yang bobrok. Kemudian diikuti peristiwa pertukaran bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia. Walaubagaimanapun istilah bahasa Melayu berjaya dipertahankan. Dan akhir-akhir ini selain bahasa Melayu diberi ejaan baharu seperti redha kepada reda, hadith kepada hadis, sedikit demi sedikit elemen Islam melalui pengaruh bahasa terhakis tanpa kita sedari.

Apa yang paling ketara sekali, istilah-istilah inggeris juga diterima dalam bahasa Melayu waima kita mempunyai bahasa kita sendiri. Sememangnya istilah-istilah inggeris yang dimelayukan hanya dibenarkan dalam keadaan tertentu. Namun begitu, apabila belanjawan ditukarkan kepada bajet (budget), bahas disebut debat(debate) dan banyak lagi istilah yang diterima dalam penulisan akhbar, kesannya identiti Islam dan timur juga semakin terhakis. Masalah kejutan budaya, hiburan yang melampau, gejala sosial dan lain-lain berlaku, tetapi kita masih tidak sedar tentang perkaitannya dengan jati diri. Di mana jati diri dan identiti bangsa Malaysia? dan yang paling ketara di mana maruah agama Islam dan rakyat timur? Semua itu telah kita kuburkan dan semadikan bersama dalam keranda 152.

tentang isu ini boleh juga klik di sini

0 comments:

Copyright © 2008 - wadah penjana minda - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template