Bismillahi rahman arraheem, wabihi nasta’ien. Wasolatuhu wasalamuhu ‘ala asyrafi al-anbiya’ii wal mursalin, wa ‘ala alihi wasohbihi ajma’ien. Assalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Sahabat-sahabat saudara seaqidah yang dirahmati Allah. Salam perjuangan menyusul membuka satu lembaran, salam persaudaraan pemula catatan baru.
Semoga layangan bingkisan warkah ini tidak membuatkan sahabat-sahabat semua tertanya akan sebab wujudnya. Lembaran dari catatan maya ini adalah kali kedua selepas bingkisan buat teman tempoh lalu. Seinfiniti kesyukuran ke hadrat Allah atas inayah-Nya, kehadiran warkah ini telayang di laman maya meski terlewat dari waktu yang sepatutnya. Kehadiran warkah ini juga mewakili diri merakamkan jutaan terima kasih atas ucapan, pesanan, teguran dan kata-kata semangat dari sahabat-sahabat semua menjelang tibanya tahun baru masihi.
Tiada yang lebih menggembirakan selagi kita masih punya nafas untuk dihembuskan. Tiada yang lebih disyukuri selagi kita masih punya nikmat iman dan Islam. Dan tiada yang lebih menakutkan selain usia bertambah menghampiri gerbang kematian. Dan adakah kita sudah ditimpa penyakit wahan? Cintakan dunia dan takutkan mati? Wa nauzubillahi min zalik. Sememangnya lebih menakutkan jika tiada bekalan yang akan kita persembahkan di hadapan Raja sekalian raja.
Sahabat-sahabat yang disayangi kerana Allah. Kini kita sudah membuka catatan baru. Episod-episod lalu yang kita tinggalkan hanya akan termaktub dalam catatan amalan kita. Sama ada kita sudah perbaharui catatan untuk tahun ini dengan amalan-amalan yang baik, atau kita hanya penuhi buku lama dengan dosa-dosa baru. Seiring dengan permulaan hijrah, satu anjakan perlu kita lakukan bukan sekadar persepsi, permikiran malahan tindakan kita juga perlu sentiasa dilakukan kerana Dia. Perkara yang menjadi kesukaran bagi seorang hamba adalah menilai dan mengukur setiap perbuatan melalui pandangan Tuhan. Bukankah begitu? Kita cenderung menerima pandangan manusia dan mengambil kira persepsi mereka berbanding kita melakukan sesuatu kerana perintah Dia dan meninggalkan sesuatu kerana teguran-Nya.
Perkara paling mudah kita lakukan.Berpakaian bukan mengikut tuntutan syarak dan menutup aurat, tetapi atas saranan manusia. Pantas sahaja kita menukar pakaian jika penampilan kita dikatakan tidak menarik, kekampungan dan tidak mengikut perkembangan semasa. Lupakah kita berpakaian dikira ibadah jika kita mengikut syariat dan melakukan kerana keredaan Allah? Dan disebabkan kita tenggelam dengan perkiraan manusia semata-mata kita menjadi mangsa manusia yang mencipta pakaian untuk menonjolkan susuk tubuh. Hakikatnya tujuan berpakaian adalah melindungi tubuh, maruah dan diri.
Walaubagaimanapun, ini sekadar contoh. Ada yang lebih teruk dari mengambil kira pandangan orang semata. Bertindak atas perkiraan diri dan melakukan perkara mengikut kepentingan peribadi sehingga lupa diri seolah-olah seperti manusia yang tidak berTuhan.
Sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah. Jalan memperolehi kebaikan antaranya adalah jihad. Adakah kita hanya menanti seru dan hidayah Allah turun tiba-tiba tanpa satu langkahan atau tindakan pun? untuk itu, bersama kita renungi pembahagian jihad menurut kitab Jundullah karanan Said Hawwa. Permulaan jihad melalui lisan seperti mana mafhum hadis nabi:
"sampaikan daripadaku walau sepotong ayat."
Bentuk jihad ini merujuk kepada penyampaian ilmu-ilmu Haq kepada orang musyrikin. Dan selain daripada itu, jihad melalui lisan juga membantu menjadi peringatan kepada diri kita sendiri. Ilmu itu bertambah jika dibelanjakan, justeru, sampaikanlah jihad lisan mengakari kemampuan kita sendiri. Bahkan jihad lisan juga dikira seperti kita menyebarkan buku-buku ilmiah, berdakwah secara individu dengan ziarah dan lain-lain lagi. Dan berdoalah dengan harapan kita mampu istiqamah dalam setiap tindakan kita.
Teman-teman seperjuangan sekalian. Dunia menghampiri penghujng usia, dan manusia yang menjadi pilihan Allah sangat sedikit. Beruntungnya jika kita antara pilihan dan golongan tersebut. Selagi sisa-sia iman dan Islam masih bertapak, selagi masih ada hembusan nafas di dada kita, jangan pernah berhenti berpesan. Allah sendiri bersumpah dengan masa bahawa kita semua kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, yang berpesan-pesan perkara haq dengan kesabaran. Hidup yang kita pilih belum tentu mendapat pujian, kesenangan dan kepuasan orang lain tetapi berjanjilah selagi Allah senang dengan tindakan kita tiada siapa lagi yang layak mengukur sikap dan amalan kita.
Sebelum pena meninggalkan nokhtah, ingin sekali kumohon seribu kemaafan, sekiranya ada ketelanjuran dalam tutur kata, budi bicara kerana aku adalah insan biasa. Yang sangat memohon perlindungan daripada Allah agar setiap perkara mendapat rahmat dari Dia, dan kita semua adalah insan yang terpilih memperoleh mahabbah Allah sebagai penentu kehidupan di alam sana.Wallahu a'alam.Assalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.
Rentak pena,
uttaeqle
mahallah ali abi talib
0 comments:
Post a Comment