Untuk perbincangan kali ini, mungkin ringkas sahaja. Berkenaan peperangan yang meletus di Gaza, tangisan dari bumi Palestin semakin ampuh mempertahankan tanah air mereka atas nama Allah. Dalam keadaan itu, qunut nazilah tidak putus-putus berkumandang dari celah-celah bibir umat Islam seluruh dunia, darah-darah saudara seaqidah kita, palestin juga tidak berhenti mengalir. Daripada seramai 27 juta rakyat Malaysia, hanya berapa sahaja yang merasakan keperitan mereka. Berapa kerat pula yang prihatinnya bermusim. Dan ada juga yang dihinggapi penyakit mati rasa, jiwa santai.
Apa sahaja yang berlaku dan menimpa ke atas saudara seaqidah kita, selagimana tidak mengganggu hidup mereka, cara hidup umpama enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing sudah betah dalam diri. Aduhai, lupakah kita akan hadis baginda Rasulullah?
"barangsiapa yang tidak mengambil berat nasib sesuatu kaum (Islam), maka mereka bukanlah dari kalangan kaum (Islam) itu"
Dan Nabi sendiri pernah mengumpamakan Islam itu sebagai satu jasad. Sekiranya ada satu anggota sakit, yang lain akan turut berjaga dan demam. Semoga doa yang tidak putus dari umat Islam membantu mengurangkan lagi penderitaan mereka. Pelbagai bentuk sumbangan dan kesedaran yang dilakukan buat masa kini, antaranya pengedaran risalah memboikot barangan israel.
Ketika poster memboikot barangan yang berkaitan yahudi dan Amerika ditampal, ramai juga yang mendengus, terkejut dan agak tidak berpuas hati kerana merasakan tiadanya alternatif. Bahkan ada juga merasakan tindakan mereka membeli barangan israel tidak memberi apa-apa kesan terhadap umat Islam. Ada juga sahabat yang bertanyakan saya, apa hukumnya kalau kita masih menggunakan barangan israel? Takkan sampai menonton National Geographic, menggunakan komputer riba berjenama intel pun tidak dibenarkan? Saya diasak dengan pelbagai soalan sedangkan saya bukanlah orang yang layak menentukan hukum sementelah pula dalam keadaan diri yang kemarau ilmu.
Cuma sekadar perkongsian, sebolehnya kita perlu tahu memberi jawapan yang terbaik kepada sahabat-sahabat kita yang tidak faham. Supaya Islam itu dilihat indah dan tidak membebankan.Saya hanya mampu memberi satu persoalan kepada mereka untuk difikirkan. Bukanlah jawapan kepada soalan-soalan mereka. Kalau kita tidak mampu boikot langsung produk barangan Amerika, israel atau yahudi, apa pernah kita doakan untuk sahabat-sahabat kita di bumi Palestin sekurang-kurangnya? Apa usaha kecil sebegitu kita tidak mampu buat, tetapi kita masih berbangga menggunakan produk penentang Islam?
Sebenarnya inilah sebahagian daripada kesan kita menggunakan produk mereka. Kita sudah kekurangan sensitiviti terhadap umat Islam. Sekiranya kita masih istiqamah dalam mendoakan, memberi kesedaran atas kemampuan kita, kita tidak akan pertikaikan larangan penggunaan produk dari bangsa yang menghancurkan Islam. Kalaupun kita tidak mampu, Islam tidak pernah membebankan. Tetapi fikirkan bahawa satu masa kita akan dipersoalkan atas tanggungjawab terhadap saudara seaqidah kita yang telah kita abaikan. Wallahu a'lam
0 comments:
Post a Comment