Bicara berkenaan manusiawi, kebiasaannya ada beberapa perkara yang menerpa di kotak fikiran. Antara nilai-nilai kemanusiaan, perasaan, akal dan nafsu adalah antara tamsilan bagi susuk tubuh bernama manusia. Dalam hidup di bawah percaturan-Nya, meladeni sunatullah, manusia kini semakin gagal memperlihatkan kemanusiaan. Nilai manusiawi yang semakin gersang seolah-olah menjadi tuntas kepada perbezaan antara manusia dan haiwan yang semakin akrab. Apakah benar manusia dasawarsa ini berbeda dengan haiwan? Cukupkah anugerah akal dari Allah sehinggakan manusia dilihat lebih sesat dari haiwan?

Barangkali keadaan ini jugalah manusia yang tidak bersalah mati dibelasah dek kerana nafsu amarah yang membuak-buak. Manusia semakin hilang kemanusiaan, melihat kesalahan dan pencabulan undang-undang, kaki dan tangan menjadi alat penghukum. Tidak perlu lagi pada siasatan, tangkapan dan perundangan negara sekiranya hukuman bagi setiap kesalahan adalah 'mati'. Bukti, beberapa kes yang melibatkan kecurian dalam masyarakat memaksa hukuman dijalankan tanpa siasatan. Sudah tentulah harga yang dibayar adalah nyawa, sedangkan ibu, isteri dan keluarga hanya mampu melihat 'si pesalah' dibelasah di hadapan mata.
Soalannya, siapakah yang hilang kemanusiaan? Masyarakat yang 'menghukum' dengan tangan dan kaki mereka atau generasi zalim yang tidak pernah ditangkap? Kejadian sadisme, manusia pedofilia, perogol dan pembunuh bersiri yang semakin membiak kesnya jarang sekali diadili dengan hukuman yang sepatutnya dan sedikit sahaja berakhir ke tali gantung. Hal ini berkemungkinan memaksa sebahagian lagi masyarakat yang bertindak membuat hukuman sendiri. Justeru, sekiranya undang-undang diambil, siapakah yang selayaknya dihukum? Apakah manusia yang membelasahi 'pesalah' sehingga mati atau pesalah yang tidak dibawa ke hukuman mati?
Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita semua, mempersiapkan bekalan ilmu dan iman agar hidup tidak berteraskan nafsu semata. Sememangnya hakikat dan realiti hidup harus ditempuhi. Dan hakikatnya adalah manusia semakin hilang kemanusiaan. Berubahlah cara hidup dan keluar lah dari perumpamaan 'bagai enau dalam berlukar, melepaskan pucuk masing-masing'. Perhalusi dan bertegaslah dalam undang-undang agar hukuman tidak dijalan mengikut nafsu sendiri, agar generasi manusia bertopengkan haiwan tidak terus-menerus dilahirkan. Tepuk dada, tanya iman dan jangan tanya selera.
0 comments:
Post a Comment