ahlan wasahlan..wamarhaban bikum

wadah penjana minda

lagu lama masih berkumandang


Dalam selirat minda mencatur tajuk, ilham dari Ilahi turun agar membawa satu wacana budaya untuk dikongsi bersama pengunjung teratak wadah penjana minda ini. Kita masih lagi menyanyikan lagu lama, bukanlah secara stereotaipnya membawa anda semua ke era muzik 50an atau 60an. Juga bukan satu topik berkenaan hedonisme yang giat menjarah permikiran generasi muda kini. Namun maudu' ini tercetus berkenaan tentang persepsi kita, mentaliti kita berhubung perkara-perkara yang berlaku senario kini. Atas dasar blog ini sebagai wadah penjana minda, marilah kita cetuskan kembali minda ini dengan soalan adakah kita 'masih menyanyi lagu lama?'


Perbicaraan dan perbincangan topik ini ada perkaitannya dengan isu 'manusia hilang kemanusiaan'. Namun begitu, suka penulis kecilkan skop terhadap isu yang dianggap remeh iaitu permasalahan gejala sosial. Fenomena pergaulan bebas remaja kini bukan setakat mengundang jenayah rogol, sebaliknya seks bebas, kelahiran bayi tidak sah taraf juga semakin meningkat seiring dengan perkembangan dan kemajuan negara. Persoalannya di sini, kita masih lagi menyanyikan lagu lama, apabila memberi sebab berlakunya keruntuhan akhlak dan kebobrokan masalah sosial dalam lingkungan yang sama. Kurangnya didikan agama, tanggungjawab ibu bapa, pengaruh rakan sebaya, dan penularan budaya barat adalah antara jawapan glamor dan tipikal untuk permasalahan ini. Ini belum lagi sebab-sebab yang berbentuk emosi seperti menyalahkan nafsu, diskriminasi terhadap wanita, tidak mahu terlalu konservatif dan sebagainya.


Antara jawapan-jawapan popular, yang kerap dijadikan punca keruntuhan akhlak adalah disebabkan kurangnya didikan agama. Keadaan inilah yang menjadikan kita golongan yang 'masih menyanyi lagu lama'. Tidak dinafikan, kurang didikan agama adalah punca tetapi bagaimana dengan kes-kes yang berlaku terhadap golongan agama? Sebahagian dari mereka diberi didikan agama yang secukupnya dan apabila besar menconteng arang ke muka ibu bapa. Pergaulan rakan sebaya? Tinggal di rumah juga turut menjadi mangsa serakah saudara kandung sendiri. Justeru, sememangnya sebab-sebab berlakunya kes-kes sebegini adalah subjektif sifatnya. Maksudnya di sini tiada jawapan yang benar-benar aktual atau jitu sebagai punca utama permasalahan ummat. Lebih-lebih lagi pertembungan generasi yang berbeza dalam mengeluarkan kenyataan berhubung masalah ini. Sebagai contoh, isu pakaian seragam sekolah bagi pelajar Islam yang dibangkitkan oleh saudari Munirah dari PKPIM, mendapat bantahan dari Ketua Wanita JIM, Dr Harlina. Di sinilah kita lihat pertentangan generasi yang memberikan hujah masing-masing. Seperti kebiasaannya, dikatakan bukanlah pakaian sebagai isu, tetapi masalah didikana agama, keluarga (antara lagu-lagu lama yang masih dimainkan) penyebab kepada gejala rogol.


Hakikatnya, kita lupa pada sebab-sebab yang remeh (isu pakaian) akibat terlalu melihat kepada sebab-sebab yang umum, (masalah agama, keluarga, rakan sebaya). Barangkali kita lupa generasi kini masyarakat terlalu bijak sehingga bukan lagi menjadikan mangsa-mangsa rogol mereka dalam kalangan gadis-gadis seksi, yang berpakaian seakan tidak cukup kain lagaknya. Tetapi kanak-kanak bawah umur, bahkan golongan tua juga menjadi mangsa nafsu serakah manusia bernafsu binatang. Sedar atau tidak, dalam kalangan masyarakat kita kini sudah wujudnya generasi sadisme, (yang menyeksa mangsa sebelum merogol dan kemudiannya dibunuh), juga lahirnya golongan pedofilia (bernafsu terhadap kanak-kanak). Golongan-golongan sebegini sangat sukar dikesan kerana tersembunyi disebalik perwatakan dan karakter seseorang. Malangnya, kita terlupa akan kewujudan generasi ini yang lahir secara tidak langsung akibat kecuaian kita sendiri kerana masih melihat pada sebab-sebab yang besar. Inilah buktinya kita masih lagi menyanyi lagu lama.


Melihat kepada keadaan ini, setiap dari kita terutamanya organisasi-organisasi yang giat membela nasib masyarakat perlu lebih bertanggungjawab, dengan melihat sebab-sebab keruntuhan moral remaja dalam aspek yang lebih kecil dan kompleks. Sebagai contoh, sekiranya selama ini kita mengatakan kurangnya didikan agama sebagai punca, kita seharusnya memperincikan lagi sebab-sebab yang lebih kecil seperti kurang kesungguhan dalam menghayati dan memberi didikan agama. Dalam aspek rakan sebaya, perubahan persepsi remaja seharusnya diberi perhatian oleh ibu bapa selain menumpukan kepada aspek siapa yang menjadi rakan-rakannya. Perlunya perincian sehinggakan kita seharusnya melihat isu pakaian juga bukan sekadar tempelan untuk berlakunya masalah rogol dan seks bebas. Jika selama ini ada yang mempertahankan kebenaran untuk berpakaian seksi dan jarang dengan mengatakan kebanyakan mangsa rogol adalah kanak-kanak, mereka nyata tersilap.


Andai dianologikan situasi ini dengan kisah serigala dan kambing-kambing, kita mungkin lebih memahami. Serigala kebiasaannya akan menyerang seekor kambing yang berada di luar kawanan. Sama juga halnya dengan sebahagian gadis yang berpakaian seksi yang mendakwa mereka tidak menjadi mangsa, sebaliknya kanak-kanak dan juga sebahagian gadis menutup aurat. Hal ini kerana mereka berada di tempat-tempat awam. Dek kerana wujudnya generasi seperti sadisme, perogol, penjenayah seksual yang tidak kita sedari, mereka menjadikan kanak-kanak dan gadis yang menutup aurat yang bersendirian sebagai sasarannya. Tuntasnya, semua wanita khususnya bertanggungjawab di atas apa yang berlaku terhadap kaum mereka sendiri. Oleh kerana masalah kecil tidak dititikberatkan, seperti pakaian yang jarang, nipis, seksi, pergaulan dan perbincangan berbaur seks, akhirnya yang menjadi mangsa adalah golongan yang tidak bersalah


Sebagai kesimpulannya, henti-hentikanlah dengan dendangan lagu lama. Bersedialah untuk berubah dan membawa perubahan. Hidayah Allah hanya diberi kepada orang yang berjihad mendapatkannya, bukan kepada orang yang menanti datangya 'seru'. Cukuplah dengan selama ini kita menjadikan agama semata-mata sebagai alasan sesuatu perkara sedangkan kita lupa betapa luasnya aspek agama Islam sehingga tidak mengenepikan sebab-sebab yang remeh.

Wallahu a'lam

0 comments:

Copyright © 2008 - wadah penjana minda - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template