ahlan wasahlan..wamarhaban bikum

wadah penjana minda

filem:wahana kehancuran?





Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan siaran berita yang melaporkan tentang penghasilan filem dari Belanda, Fitna. Filem terbitan Geert Wilders secara jelas menghina Islam apabila membawa tafsiran yang buruk terhadap al-Quran. Gambarannya berkenaan dengan peristiwa yang telah berlaku seperti serangan 11 Sept terhadap Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York, juga pengeboman kereta api penumpang di Madrid, Sepanyol pada 2004 mempunyai signifikan yang jelas bagi melemparkan imej pengganas terhadap penganut agama Islam. Meskipun, sebelum ini kita pernah digemparkan dengan penyiaran karikatur Rasulullah oleh sebuah majalah di Denmark, namun usaha musuh-musuh Islam tidak pernah berhenti apabila turut disusuli dengan hasil penulisan Satanic Verses oleh Salman Rushdie. Bahkan penganugerahan gelaran sir kepada Salman Rushdie satu tika dahulu benar-benar membangkit kemarahan umat Islam seluruh dunia.

Kini, kemunculan filem Fitna umpama bahan ledakan yang membakar hati-hati umat Islam. Beberapa negara Islam tampil menyuarakan bantahan terhadap penyiaran filem sampah ini seperti Indonesia dan lain-lain. Justeru, sebagai umat Islam yang mempunyai sensitiviti, tindakan susulan perlu dilakukan mengikut saranan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Muhammad agar memboikot produk keluaran atau buatan Belanda. Walaupun masih mengharapkan ada kenyataan lain dari Malaysia seperti dari Perdana Menteri sebagai bantahan terhadap pernyiaran filem ini, atas kapasiti kita sebagai rakyat Malaysia yang berpegang pada agama Islam, ketidakpuasan hati ini perlu diterjemah dalam bentuk tindakan



.

Bagaimana pun, jangan terlepas pandang terhadap sebuah lagi keluaran filem dari Malaysia. Akhirat, yang kini sedang hangat dipromosikan di seluruh Malaysia. Hakikatnya, filem ini tidak bertepatan dengan judul yang dibawa. Filem dengan skrip yang ditulis oleh Ikhzal Azfarel Ideris ini telah diwarwarkan sebagai filem yang mengangkat tema agama. Malang sekali babak-babak yang ditayangkan telah mencemarkan konsep keagamaan yang mereka pegang. Disebabkan keghairahan membawa keadaan realiti yang berlaku, setiap perwatakan yang dipertontonkan seolah-olah membawa kita menyaksikan filem 'pornografi yang sopan'. Mungkin kenyataan penulis yang bersifat menghukum ini agak tegas, tetapi bertanyalah pada diri sendiri, wajarkah filem sebegini disaksikan oleh seisi keluarga? Apa pengajaran yang boleh kita perolehi jika penonton boleh jadi asyik dan tenggelam dengan aksi menghairahkan lakonan Vanida Imran, Nabila, Tony Eusoff dan Adiputra?


Seperti yang kita maklum, soundtrack bagi filem ini turut mengangkat tajuk filem sebagai judulnya, malangnya lirik-lirik tidak ada yang menyentuh aspek keagamaan dan keTuhanan. Bukankah, semakin hampir kita dengan akhirat, semakin kita menuju Tuhan? Menurut produser S. Baldev Singh, Akhirat ditayangkan bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul. katanya lagi, "Sekarang ini kita lebih menitik beratkan konsep Islam hadhari, maka lahirlah Akhirat". Kehadiran filem Akhirat tidak jauh bezanya dengan filem-filem seperti Gubra, Remp-It, anak halal dan lain-lain yang tidak sudah-sudah menyiarkan adegan kotor atas alasan realiti yang berlaku. Memang benarlah, ianya realiti, Tetapi bukankah ianya patut disusuli dengan alternatif dan kesan buruk akibat perlakuan manusia separa binatang? Malangnya, anjakan filem-filem tempatan kini seolah sama taranya dengan filem barat. Apa yang paling membimbangkan, sensitiviti umat Islam semakin terhakis sehingga menganggap kewujudan filem-filem sebegini sebagai kebiasaan. DItambah lagi dengan penyiaran filem Fitna yang terlalu jelas menghina umat Islam, alangkah hibanya apabila ketidak puasan kita hanya bersifat sementara.


Justeru itu, bersama kita membuka mata. Betapa kehadiran filem-filem tempatan mahupun luar negara kini berada di tahap yang membimbangkan. Sehinggakan kita menjadi defensif terhadap filem-filem sebegini. Oleh itu, pembuat filem seharusnya sedar mesej adalah keutamaan. Kemudian barulah disusuli dengan kreativiti dan gaya penceritaan. Memetik tulisan Faisal Tehrani, "Duduknya seni Islam haruslah begini. Ia satu gerakan ke bawah. Allah sebagai Pencipta, Nabi Muhammad yakni Nur Muhammad sebagai pusat logos, itu kita namakan kamal atau kesempurnaan. Ia turun kepada ahlul bait sebagai penerus kelangsungan Islam yang aktual iaitu kita namakan wilayah. Ini kerana ahlul bait bukan hanya ilmuan tetapi cendekiawan kerana terlibat dalam pembangunan masyarakat. Gerakan kreativiti karyawan seni harus menempuh laluan ini. Kemudian barulah sampai kepada ayan sabitah atau idea umum di mana dalam gestalt pemikiran Melayu; ia adalah manfaat dan faedah untuk masyarakat. "



Secara naratifnya, filem yang mengisahkan Mira penghidap HIV AIDS menderita di atas kesalahan orang lain masih boleh dilihat dari aspek positif iaitu akibat perlakuan pemerkosaan. Namun begitu, kegagalan pembikin filem untuk menyelitkan tentang kerintihan hamba dan hubungan hamba dengan Maha Berkuasa menjadikan filem ini tidak lain hanyalah picisan. Keinsafan yang cuba disampaikan tidak menjadikan Tuhan sebagai Pemberi Ujian, sebaliknya hanyalah kerana faktor manusia itu sendiri. Kesimpulannya, bersikap selektiflah dengan kehadiran-kehadiran filem baik tempatan mahupun luar negara. Jangan jadikan kita sebagai batu dijalanan. Tidak respon terhadap perkara yang berlaku di sekeliling, sehinggakan filem juga tidak lain hanyalah sebagai wahana kehancuran.








0 comments:

Copyright © 2008 - wadah penjana minda - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template