ahlan wasahlan..wamarhaban bikum

wadah penjana minda

cerita rekaan manusia



Rentetan dari kebanjiran rancangan-rancangan dari Negara seberang, juga lambakan penghibur bukan tempatan di Negara kita, Malaysia kini tidak ubah seperti Negara asing pada pandangan sebahagian masyarakat kita. Keberadaan warga Malaysia juga seolah-olah diragui apabila hampir semua sektor pekerjaan dipenuhi warga asing terutamanya Indonesia. Bahkan, konduktor, juruwang sehinggalah pekedai runcit dimonopoli oleh warga bukan Malaysia. Bagaimanapun, bukan itu isunya yang akan dibangkitkan di sini. Hal ini kerana kebanjiran warga asing ke Malaysia juga dilihat mempunyai pro dan kontra.

Tidak dinafikan kewujudan drama-drama dan filem dari Indonesia kini lebih menjadi pilihan warga Malaysia secara tidak langsung menambahkan lagi kerancakkan fenomena Indonesia di bumi Malaysia. Stesen-stesen televisyen dalam memenuhi permintaan penonton giat menayangkan drama-drama sinetron dari Negara seberang. Melihat pada keadaan ini, apakah filem atau drama Malaysia kurang memenuhi citarasa penonton? Atau filem-filem dan drama-drama tempatan kurang nilai kemasyarakatan, sosial dan agama? Mungkin tidak adil sekiranya dikatakan drama tempatan ketandusan nilai hanya disebabkan kurang menjadi pilihan dalam kalangan penonton. Fungsi dan peranan yang dimainkan wayang bergerak atau drama dilihat sangat besar terutama sekali dalam mempengaruhi persepsi dan landskap permikiran manusia. Kenyataan ini merujuk pada senario yang berlaku kini. Namun begitu, kekerapan penayangan drama dari Negara seberang oleh stesen televisyen kita sendiri hakikatnya lebih mendominasi rancangan dan drama tempatan. Bahkan, boleh dikatakan golongan suri rumah, pesara dan sebahagian masyarakat Malaysia rancak memperkatakan rancangan drama dan sinetron dari Indonesia sehinggakan terbawa-bawa dalam kehidupan seharian. Kerancakkan drama dan filem-filem bukan tempatan atau lebih tepat lagi dari Indonesia sangat menggusarkan Persatuan Karyawan sementelah mereka seakan-akan merasakan keadaan ini membunuh ‘hasil titik peluh’ mereka.

Secara peribadinya di sini, penulis juga tidak menafikan drama-drama dari seberang sangat tulus dalam pembawaan mesej. Tema-tema yang diangkat juga lebih menyeluruh berbanding drama-drama tempatan yang tidak habis-habis menjadikan elemen cinta sebagai perencah. Meskipun pengaruh liberal ada dalam sebahagian sinetron Indonesia, namun ketulusan dan mesej yang dibawa sangat jelas dalam susunan skripnya. Sebagai contoh, sinema hidayah. Secara jujurnya, untuk mencari drama tempatan yang berkonsepkan keTuhanan sangat sukar. Jika adapun, kebanyakan drama arahan dan terbitan Rashid Sibir. Selebihnya, dilihat mengutamakan elemen cinta, hiburan dan sebagainya. Bahkan, dalam susunan lagu juga, drama dari Indonesia cenderung memilih konsep keTuhanan seperti dalam sinetron Mutiara Hati, Hikmah, anakku bukan anakku dan lain-lain. Lagu-lagu itu jugalah menjadi nyanyian di bibir masyarakat kita. Sedangkan drama tempatan pula sering memaparkan imej korporat dengan solekan setiap pelakon yang menampakkan kepalsuan, dengan penggunaan bahasa rojak, bahkan skrip yang berbaur emosi.

Walaupun begitu, ada sesetengah pendapat yang menyangkal drama dari seberang membawa mesej keTuhanan dengan baik. Sebagai contoh, kebanyakannya ada babak yang tidak masuk akal dan kepercayaan khurafat. Tetapi suka penulis tegaskan di sini, drama yang dekat dengan hati penonton adalah drama yang membawa aspek agama dalam kehidupan. Tidak semestinya judul perlu berunsur agama, tetapi setiap skrip dan babak yang perlu dikaitkan dengan Tuhan kenapa perlu ditapis dan disaring seperti kebanyakan drama tempatan kita. Mungkin atas dasar toleransi sesama kaum, tetapi sedar atau tidak kita semakin luntur dengan prinsip dan kebaikan agama kita sehingga membuka pintu-pintu pluralisme menyerang secara senyap. Oleh itu, kita perlu akui bahawa drama kita terikut acuan barat sehinggakan pilihan penonton juga beralih arah kepada rancangan dari Negara seberang.


0 comments:

Copyright © 2008 - wadah penjana minda - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template