ahlan wasahlan..wamarhaban bikum

wadah penjana minda

hikmah kembara



7hb februari 2008

3.00 petang

stesen Sentral Kuala Lumpur

Lautan manusia memenuhi ruang legar. Berpusu-pusu. Sesekali aku dirempuh sesusuk tubuh Mat Saleh. Pelancong asing, monolog hatiku. "sorry," kalam yang sempat ku rakamkan. Sebagai tanda berhemah mungkin. Namun dek disebabkan masing-masing dalam keadaan tergesa-gesa, ku rasakan ungkapan ku hanya berlalu begitu sahaja. Apapun tindak balas darinya, tidak penting bagiku. Ini bukanlah masanya malayani kehendak atau masalah hati. Aku harus segera. Sambil kornea mata melirik pada jam di telefon bimbit sekilas, aku mempercepatkan langkahan. Targetku, mesti tiba di rumah sebelum senja melabuhkan tirainya.

Sementara menanti giliranku di barisan, aku memerhati keadaan sekeliling. Lautan manusia yang berbagai ragam adakalanya mencuit hatiku. Sambutan Tahun Baru Cina memang dimanfaatkan oleh semua lapisan kaum dan masyarakat di Malaysia untuk pulang ke kampung halaman. Tidak terkecuali aku. Ada seorang wanita cina mengheret anak kecilnya sehingga kemerahan muka si anak tersebut. Barangkali si ibu ingin mengejar masa sehingga terlupa perasaan si anak kecil. Tidak kurang juga yang berkeluh kesah menanti barisan yang panjang. Saat ini, ku kira kesabaran benar-benar teruji. Dan sememangnya aku bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku. Sesekali aku tekejut juga. Selama sebulan bergelumang dengan projek dan dunia studio akhirnya aku keluar juga. Melihat lambakan warga asing yang selama ini menjadi hebahan di dada-dada akhbar, tercuit juga perasaan bimbang. Tidak salah sekiranya berjaga-jaga sementelahan pelbagai kes-kes jenayah berlaku, namun janganlah sampai terlalu berprasangka.

Selesai mendapatkan tiket, aku berkejar ke tingkat bawah. Komuter dari rawang masih belum tiba. Pandangan ku halakan ke dashboard. kira-kira 45 minit lagi komuter dari rawang akan tiba. Tiba-tiba bahuku dirempuh seseorang. Aku cuba bermanis muka dan mengungkapkan ucapan maaf. Biar bukan kesalahanku, tetapi dengan cara itu memberi kesan terhadap orang lain. Inilah praktikal da'wah yang ku fahami melalui suri teladan Rasulullah. Ku lihat pemuda tersebut senyum sambil mengangguk. Kelibatnya hilang ditelan sekumpulan manusia. Serta-merta ku teringat kata-kata saidina Umar al-Khattab. "kebajikan yang ringan adalah menunjukkan muka yang berseri-seri dan mengucapkan kata-kata yang lemah lembut"




Masa berlalu hampir satu jam. Benarlah penantian itu satu penyeksaan. Masa yang dijanjikan untuk komuter dari rawang tiba ditangguh atas sebab masalah teknikal. Beberapa kali ku dengar pengumuman memohon maaf dibuat. Masalah begini menjadi rencah warga kota hakikatnya. Mungkin Allah ingin uji sejauh mana ukuran kesabaran hamba-hamba-Nya. Pegawai yang bertugas kelihatan bersungguh-sungguh. Seringkali wisel ditiup memberi amaran agar tidak berdiri melepasi garisan kuning. Ku tersenyum cuma. Melihat pegawai yang bertugas seorang wanita bertudung litup, kelihatan sungguh manis. Manusia yang berusaha menjaga syariat sentiasa dipandang mulia. Aku tersenyum bangga melihat anjakan paradigma yang berlaku terhadap unit pasukan beruniform. Jika dahulu wanita berpakaian seragam seperti polis mahupun tentera tidak berkerudung, kini mereka telah diberi pilihan. Bahkan semakin ramai yang memilih untuk menutup aurat, salah satu hukum wajib yang begitu pasti termaktub dalam kitab suci. Kotak minda ku terlayar pada majalah al-Islam edisi terbaru. Judulnya 'Terlalu Islamik, bukan islam takut'. Ada beberapa kenyataan yang tidak berapa ku setuju. Dakwaan mengatakan Malaysia semakin konservatif dari segi pemakaian dan pemikiran orang Islam sangat bertentangan dengan pandanganku secara berperibadi. Hakikatnya yang kita lihat, sesetengah unit beruniform memberi alternatif untuk wanita muslim menutup aurat baik di mana lapangan sekalipun.




Satu jam setengah telah berlalu. Komuter ke Rawang menyusul tiba. Rempuhan demi rempuhan berlaku apabila pintu dari tren terbuka. Melihatkan pada keadaan yang berlaku, aku membuat keputusan menanti tren lagi satu. Tolak menolak dan gesel bergesel berlaku tanpa menira jantina, kaum dan usia. Seringkali terpacul juga perkataan yang kurang enak disebabkan sebahagian masyarakat yang mengutamakan kepentingan diri melebihi segalanya, yang meletak emosi di atas akal dan sebagainya. Aku berdiri penuh sabar, sambil bermonolog memberi motivasi pada diri sendiri. Itu lebih baik ku kira. Akhirnya, tren yang kutunggu telah tiba. Meski terlewat hampir 40 minit, tetapi itu tidak mematahkan semangatku yang ingin pulang menatap wajah ayah bonda tercinta.

Saat kali melangkah masuk ke perut komuter yang menghala ke Rawang, sekali lagi kesabarabku hampir tergugat. Aku segera mencari seat yang kosong. Penghawa dingin di dalam komuter ini langsung tidak berfungsi. Mutiara peluh berlumba-lumba keluar dari liangnya. Keadaanku ini turut dirasakan oleh semua penumpang. Paling ku kasihan melihat wanita tua yang kemerahan wajahnya. Susuk tubuh manusia yang berasak-asak adakalanya mengeluarkan bau yang kurang menyenang. Ditambah dengan keadaan penghawa dingin yang tidak berfungsi, aku merasakan diriku dan penumpang lain seolah-olah berada dalam pemanas ketuhar.

Saat ini mafhum dari surah al-Baqarah ayat 153 menerpa memberi kekuatan. "hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar". Aku tidak teragak-agak lagi dengan terus membasahi lidahku dengan zikrullah. Itulah jalan yang terbaik yang harus ku ikuti. Dengan mengingati Allah, hati akan jadi tenang biar bagaimana sekalipun situasi dan cabarannya. Peluh yang merenik di dahi tidak ku usap. Aku cuba memusatkan pemikiran pada zikrullah yang bermain di atmaku. Syukur ya Allah. Kau memberi ku ilham agar kesabaranku sentiasa menjaga aqidah. agar aku tidak termasuk dengan golongan manusia yang berkeluh kesah di atas secicip ujian-Mu.

Berkat kuasa Allah yang memberiku kekuatan, aku tiba juga di stesen Kuang. Langkahan ku atur keluar dari perut tren berhati-hati. Sebaik mata melihat susuk tubuh abah, air mata ku bergenang. Segala kesusahan yang sangat sedikit terbang dipupuk angin semilir petang. Segala keletihan, kepanasan segera ku hapus apabila tangan menyalami abah. Ku kucup pipi abah tanda indahnya pertemuan yang diatur Allah. Memang sengaja disusahkan hamba-Nya agar nikmat pertemuan itu dapat dirasai. Syukur Alhamdulillah


0 comments:

Copyright © 2008 - wadah penjana minda - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template