ahlan wasahlan..wamarhaban bikum

wadah penjana minda

fasiliti kelas pertama, mentaliti kelas ketiga

Mata melirik pada jam di tangan. Jarum menunjukkan hampir pukul 10 malam. Majlis yang sepatutnya bermula telah terlewat satu jam. Program yang benar-benar dinantikan oleh seluruh warga Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Nilam Puri iaitu Bicara Siswa hanya tunggu dimulakan. Kehadiranku pada malam ini, selain dari memenuhi undangan sahabat, antara lainnya mendapatkan secicip ilmu. Tidak berapa lama kemudian, suara pengerusi majlis kedengaran, mematikan lamunan dan fikiranku yang melayang seketika. “Mahasiswa:Sistem Pengajian Kelas Pertama, Mentaliti Kelas Ketiga”. Tajuk yang begitu menarik untuk dikupaskan. Moderator yang berkemeja kelabu berjalur dikenakan dengan tali leher berbelang –tak berapa padan, monolog ku tampak begitu semangat mengalu-alukan kehadiran panelis-panelis dari IPTA berdekatan. Bagaimanapun, ku kira hampir semua sidang penonton lebih memberi perhatian kepada panel ketiga, Saudara Mohd Rizal merangkap YDP Majlis Perwakilan Pelajar UM Nilam Puri. Jelas karismatiknya sebagai peneraju perwakilan pelajar di institut ini. Apapun, panel-panel yang lain juga tidak kurang hebatnya dengan gaya penyampaian yang bervariasi.


“Apa pandangan tentang tajuk ni?” Suara Hasyim kedengaran berbisik. Aku merenung anak matanya dalam-dalam. Seraya kotak minda berputar, melakar imaginasi sewaktu berdiskusi bersama teman di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Tajuknya tidak jauh berbeza. Fasiliti kelas pertama, Mentaliti kelas ketiga.


Sistem pendidikan kini mengalami perubahan selaras dengan perkembangan pendidikan dan kemajuan Negara. Kondisi ini menyaksikan peningkatan pelajar atau mahasiswa dalam pencapaian sangat memberangsangkan. Peluang golongan pendidik mengecapi pencapaian yang lebih baik menerusi Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), lambakan Institut Pengajian Tinggi dan sekolah- sekolah berkualiti, bahkan fasiliti-fasiliti yang disediakan antara lainnya dilihat sebagai satu peluang kepada pelajar mahupun mahasiswa agar tidak berlaku keciciran ilmu. Barangkali senario bertambahnya golongan bijak pandai mendorong kerajaan untuk meningkatkan taraf kualiti dan fasiliti pendidikan di Negara kita. Sebagai contoh, idea perlaksanaan sekolah kluster bertujuan memoden dan memartabatkan sistem pendidikan sekolah. Selain itu, pengklasifikasian IPT kepada tiga kumpulan iaitu Universiti Apex, Universiti Elit dan Universiti Kompetitif selaras dengan modal insan yang dicanangkan Perdana Menteri. Maka, wajarlah dikatakan sistem pendidikan masa kini atau fasiliti yang ditawarkan adalah kelas pertama.


Bagaimana pula dengan mentaliti produk yang dilahirkan? Mengimbau kembali sejarah sistem pendidikan era 80an dahulu, maktab-maktab perguruan misalannya tidak mendapat pendedahan dan peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Persaingan antara pelajar bagi memenuhi tempat di institut pengajian tinggi juga memperlihatkan sebahagian besar tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Senario kompetitif ini berlaku disebabkan kurangnya universiti yang ditawarkan. Malahan, kekurangan tenaga pengajar dan ketandusan fasiliti turut menjadikan perkembangan pendidikan sedikit terbantut. Tetapi terlupakah kita? Sistem pendidikan dan fasiliti dahulu yang boleh dikatakan kelas ketiga akhirnya berjaya melahirkan nama-nama besar yang mengharumkan negara. Munculnya golongan intelek yang bermentaliti kelas pertama, antaranya Tun Dr Mahathir Mohamad, Profesor Dr. Sidek Baba dan Perdana Menteri kita Dato’ Sri Abdullah Ahmad Badawi pernah menuntut di Universiti Malaya, bahkan angkasawan pertama Negara dr. Sheikh Muszaphar Shukor juga merupakan graduan di Universiti Kebangsaan Malaysia. Mereka inilah antara golongan yang pernah merasa kekurangan fasiliti dan prasarana di institut pengajian tinggi. Namun jati diri yang kuat, biar lahir dari zaman institusi kelas ketiga sekalipun melahirkan insan-insan yang banyak menyumbang kepada kejayaan agama, bangsa dan Negara.


Sekilas pada topik perbincangan, benarkah kebanyakan mahasiswa kini bermentaliti kelas ketiga, biar pun peruntukan kerajaan dalam sektor pendidikan dan pengajian tinggi melebihi 5bilion ringgit? Adakah fasiliti kelas pertama masih melahirkan mahasiswa bermentaliti kelas ketiga? Apabila berlakunya transisi umur atau peringkat pengajian, secara tidak langsung minda seseorang juga terikut dengan acuannya. Mahasiswa kini dilihat lebih mengutamakan pencapaian yang bersifat peribadi dari menyumbang bakti kepada masyarakat. Dengan berorientasikan peperiksaan atau exam oriented, mahasiswa gagal menggunakan pemikiran sepenuhnya kerana lebih bersikap teorikal. Menghafaz nota-nota dan formula, kemudian diterjemahkan dalam peperiksaan. Dengan sistem pendidikan sebegini yang hanya mengukur kejayaan dari sudut akademik, secara tidak langsung telah mendidik mahasiswa agar mengerah keringat bagi memperolehi segulung ijazah atau menamatkan pengajian. Tidak hairanlah gejala plagiarisme menular dalam kalangan mereka demi segulung ijazah yang dinamakan kejayaan. Ditambah pula dengan fasiliti kelas pertama, kini segalanya di hujung jari. Maka berlakulah pola kehidupan mahasiswa yang membosankan-kuliyah, kafe katil dek kerana kekangan dari pihak tertentu untuk mahasiswa melibatkan diri dengan kegiatan luar, juga disebabkan sikap yang umpama enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.


Menyedari hakikat ini, mahasiswa seharusnya sedar serta menjadikan ruang dan peluang yang sedia ada, ditambah pula dengan fasiliti kelas pertama sebagai batu loncatan untuk mengukir kejayaan melalui pembangunan pemikiran dan kelangsungan ilmu yang diterjemahkan menerusi sumbangan serta manfaat terhadap masyarakat lain. Buktikan, kehadiran mahasiswa kini lebih ‘disedari’ agar ungkapan mahasiswa beku, lesu ataupun bermentaliti kelas ketiga berjaya dihapuskan. Kewujudan mahasiswa bukan sekadar pemacu kegemilangan Negara, bahkan merupakan momentum perubahan gaya hidup masyarakat.


0 comments:

Copyright © 2008 - wadah penjana minda - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template