ahlan wasahlan..wamarhaban bikum

wadah penjana minda

cabaran hidup


Salawat dan salam untuk rasul junjungan kekasih Allah, para sahabat pengubat luka baginda, tabi’ tabi’een pewaris sunnah dan risalah. Moga-moga kita semua berada di bawah naungan kasih sayang Allah. Hakikat hidup di dunia ini sememangnya tidak lari dari ditimpa ujian atau musibah. Semuanya adalah kerana kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya. Masakan Allah membebankan kita semua sedangkan kasih sayang Allah tiada tanding. Bahkan mahabbah dan rahmah-Nya mengatasi kasih sayang kita sesama makhluk.


Bicara mengenai cabaran hidup di dunia, ironinya kita tidak dapat lari dari memikirkan masa hadapan. Semuanya inginkan warna-warni seperti yang dirancang. Andai kita punya kuasa, sudah tentu percaturan masa hadapan kita yang tentukan. Barangkali kita terlupa, dunia satu warna sudah tentu mengundang kebosanan. Tanpa cabaran dan musibah, dunia menjadi lebih kelam dan suram. Lantaran itu, masa depan yang dijanjikan Allah sudah termaktub dalam louh mahfuz. Meninjau dari maksud masa hadapan, ianya terbahagi kepada dua. Pertama masa hadapan dekat dan sementara. Iaitu masa kita dilahirkan bayi sehinggalah diizinkan Allah menganjak ke usia senja. Kedua masa hadapan terkemudian dan kekal. Ianya masa selepas kehancuran dunia.


Ada beberapa cabaran yang seharusnya kita ketahui. Dalam keadaan dunia mengalami anjakan paradigma yang begitu drastik, kita sering dimomokkan dengan hiburan terlampau, warna-warna ciptaan manusia yang melalaikan, dan propaganda barat yang tidak pernah henti. Atas dasar itulah, kalam Allah yang termaktub dalam kitab suci dan wasiat nabi menjadi benteng ketahanan diri. Konflik dalam diri sering wujud apabila kita berbicara dengan akal, nafsu dan hati kecil kita. Hal inilah yang menjadi cabaran dalam kehidupan, iaitu cabaran sikap dan pendirian. Kata orang, sesiapa yang ingin berubah perlu bermula dari diri sendiri. Benarlah, dan ini bertepatan dengan mafhum dari surah al-Baqarah, ayat 153.
“Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”.


Kadangkala kita sering membenarkan kata-kata nafsu kita dan hal inilah yang menjadi cabaran untuk kita melakukan perubahan (mutaghoiyirot). Lemahnya jati diri dan kurangnya penghayatan al-Quran akan membuka banyak ruang-ruang untuk syaitan merajai diri. Natijahnya, kita sendiri tidak kembali kepada fitrah. Tidak hairanlah, hati sentiasa mencuba biar akal menentang dan nafsu pula mengiyakan. Sebagai contoh, perkara-perkara yang bertentangan dengan syara’ sendiri dilakukan oleh orang yang ma’ruf tentang agama.

Antara cabaran lain pula ialah cabaran kefahaman. Perkara yang kita lakukan tanpa tujuan dan ilmu bolehlah diumpamakan seperti tin kosong yang berkarat. Tiada isi dan tidak boleh dimanfaatkan. Hidup hanya suka-suka dan hiburan sebagai matlamat jelas menggambarkan bahawa kita kemarau ilmu dan kefahaman. Jangan terkejut sekiranya keluar kata-kata skeptikal begini. ‘saya memang dilahirkan untuk menyanyi.’ ‘Allah anugerahkan kecantikan untuk saya tunjuk’ dan sebagainya. Tidak memahami sebab dan hakikat penciptaan menjadikan kita ini manusia yang mudah diperkotak-katikkan. Bahkan kita umpama lembu dicucuk hidung apabila menjadi mangsa eksploitasi media dan orientalis barat. Firman Allah dalam surah al-Baqarah lagi.
“Allah menganugerahkan al-Hikmah (kefahaman mendalam tentang al-Quran dan asSunnah) kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan barangsiapa yang dianugerahkan al-Hikmah itu, ia benar-benar telah dianugerahkan kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pengajaran (dari firman Allah)” (2:269)
Siapalah di antara kita yang berani menafikan kalam Allah? Sudah tentu kita wajib membenarkan. Kefahaman yang Allah anugerahkan perlu dimanfaatkan dan dijadikan sebagai benteng menentang cabaran kefahaman. Justeru bergeraklah di atas kaki sendiri. Beridentitikan Islam sejati, bukan Islam pada nama semata.


Kesimpulannya lakukanlah persiapan bermula dari sekarang. Dari saat anda menatap artikel ini dengan memusatkan segalanya dari hati. Ringankan lidah menyebut kata-kata bermanfaat, teguhkan pendirian dan kembali kepada fitrah. Cabaran pendirian dan kefahaman hanya mampu ditangkis sekiranya kita jadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai manhaj hidup kita.
“Dan peliharalah dirimu dari (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya (dirugikan)}. Al-Baqarah 2:281.


0 comments:

Copyright © 2008 - wadah penjana minda - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template