ahlan wasahlan..wamarhaban bikum

wadah penjana minda

di mana jati diri kita..





Untuk ruangan kali ini, sedikit coretan melampiaskan rasa kecewa, geram dan marah. Selepas kemerdekaan negara yang telah mencapai 51 tahun, mentaliti kebanyakan di antara kita menjadi lebih jumud ortodoks dan konservatif. Perasaan marah dan geram ini hanya dapat diterjemahkan di dalam ruangan maya sebagai satu wadah agar kita jana minda kita. Betapa kelompok melayu sekarang makin hilang jati diri. Politikus-politikus dari jentera kerajaan mahupun pembangkang yang dahulunya mempertahankan Melayu dan Islam kini berubah prinsip. Menjaga toleransi dan perpaduan kaum adalah hujah mereka yang membuatkan kedua-dua jentera tersebut seboleh-bolehnya bersikap akomodatif terhadap bangsa bukan melayu. Terbaru, Umno merasa malu dan memohon maaf secara terbuka apabila seorang pemimpin mereka hanya mengatakan"bangsa cina adalah bangsa pendatang. Kenapa perlu beri hak sama rata"




Perasaan malu kononnya untuk menjaga perpaduan kaum dan tidak mahu dianggap racist menyebabkan berbondong-bondong bangsa melayu memohon maaf dan menyesali tindakan tersebut. Keadaan semakin runcing apabila remaja Melayu Islam disibukkan dengan hedonisme dan hiburan melampau, golongan melayu veteran pula tidak henti-henti menekankan aspek perpaduan, sehingga terlupa sedikit demi sedikit ketuanan dan jati diri Melayu tercalar. bahkan jika badan-badan tertentu memperjuangkan hak-hak melayu mutakhir ini, mereka akan dikecam hebat. Bukan dengan bangsa lain, tetapi dengan bangsa Melayu sendiri. Alahai, apa sudah jadi??




Kita lihat pula bagaimana maruah melayu diperkecil dan dihina oleh bangsa lain. Negarakuku berakhir dengan memohon maaf sahaja, sedangkan yang dihina bukan setakat melayu tetapi Islam. Padahal, jika lagu negaraku dinyanyikan oleh orang Melayu dengan rentak yang rancak sahaja dianggap menghina bahkan dikecam dengan sangat dahsyat.




Berbalik pada jati diri Melayu. Tindakan memohon maaf kononnya tidak mahu mencetus rusuhan kaum hakikatnya menggambarkan kelunturan jati diri Melayu. Tidakkah kita sedar, betapa banyak keistimewaan yang telah kita berikan kepada bangsa bukan Melayu? Tiada satu pun negara di dunia ini yang memberi hak kewarganegaraan kepada bangsa bukan asal mereka. Kita bukan sahaja beri keistimewaan tersebut, bahkan sekolah khas untuk jenis cina dan tamil juga turut diberi. mana pula sekolah jenis Melayu??






Barangkali tindakan penulis membawa isu ini bakal dikecam sesetengah pihak yang berpendapat Islam yang perlu diperjuangkan, bukan Melayu. Kita kena lihat sejarah kita sendiri. Malaysialah satu-satunya negara yang budaya Islam bermula dari melayu. Identiti Melayu adalah Islam. Perkara ini turut mencakupi aspek bahasa, budaya, jatidiri dan sosial. Senario kini, bahasa melayu juga sudah semakin luntur, apatah lagi tulisan jawi. pengaruh bahasa Melayu dan tulisan jawi sangat kuat. Sehinggakan siapa yang tidak tahu membaca tulisan jawi sudah tentu sukar membaca al-Quran. Tambahan pula, marjoriti penduduk di Malaysia adalah Melayu dan Islam. Kita terlupa jika kita tidak memperjuangkan bangsa Melayu, di medan mana Islam dapat ditegakkan? Adakah melalui bangsa asing atau pendatang tanpa izin? Tindakan kita yang kononnya menjaga perpaduan kaum tanpa kita sedari adalah slogan yang tidak henti-heneti dilaungkan oleh bangsa Melayu sahaja.(tidak semua)




JIka orang Melayu membawa isu ketuanan Melayu dianggap mencetuskan huru hara dan perlu diambil tindakan. Tetapi jika bangsa asing mempertikaikan bahasa Melayu, apa yang berlaku. Perhimpunan atau perjumpaan orang-orang Melayu dari kerajaan dan pembangkang dianggap sebagai racist, sedangkan sejak dari dahulu lagi sudah lama wujud perhimpunan bangsa-bangsa lain bukan melayu. Contoh paling mudah, apabila orang bukan melayu mempertikaikan tulisan jawi di papan tanda jalan, dan perlu dihapuskan, tidakkah kita seharusnya rasa marah dan menuntut mereka mohon maaf. Tetapi mana dia pemimpin melayu yang lantang bersuara? Mana dia kritikus-kritikus yang mengecam perjuangan Melayu. Apabila sehingga ke tahap mempertikaikan tulisan jawi, tidakkah ianya berkaitan dengan Melayu dan Islam secara tidak langsung?




Apapun kita nantikan sahaja, pemimpin-pemimpin, dan individu yang bangga mempertahankan keharmonian kaum sehinggakan jati diri luntur dan prinsip tergadai. Bersama kita jana minda, jangan biarkan otak tepu dan permikiran jumud dengan suapan-suapan sahaja. Bersikap selektif dan berhikmahlah dalam setiap perkara. dan jangan defensif secara membuta tuli. Wallahu a'lam


0 comments:

Copyright © 2008 - wadah penjana minda - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template