ahlan wasahlan..wamarhaban bikum

wadah penjana minda

ada apa 21 ogos?



Sedang kita sibuk menghitung hari sebelum tarikh keramat 31 Ogos, barangkali ramai yang tidak tahu, sepuluh hari sebelum tarikh tersebut berlaku peristiwa yang wajib diingati oleh umat Islam. Kemerdekaan negara kita yang seakan suram dek kerana isu Permatang Pauh yang lebih menjadi fokus bagaimanapun tetap tidak menghalang sambutan 31 Ogos diraikan. Namun begitu, kemerdekaan yang ditagih di salah sebuah tempat suci umat Islam tidak seharusnya dibiar melukut di tepi gantang. Palestin atau lebih tepat lagi Masjid al-Aqsa mempunyai sejarah yang wajib diingati sekiranya kita mengaku saudara seaqidah dengan mereka. Mungkin di atas kelemahan kita sendiri fakta ini tidak disebarkan, tetapi selagi kalimah syahadah masih mekar di atma kita, kita punya kuasa dan upaya untuk memperjuangkan nasib mereka biar dalam kalungan doa sekalipun.


Ada apa dengan 21 Ogos? Kenapa perlu kita sibuk? Apa pertalian kita dengan mereka? Soalan-soalan berbaur negatif ini ada jawapannya. Sabdaan nabi yang bermaksud: "barangsiapa yang tidak mengambil berat nasib sesuatu kaum (Islam), maka mereka bukanlah dari kalangan kaum (Islam) itu,"

Menyorot lipatan sejarah, 21 Ogos 1969 menjadi saksi tarikh penjarahan kafir laknatullah alaih yang mencemar tempat ketiga suci umat Islam. Dennis Micheal Rohan, bangsa Australia yang bukan sahaja membakar masjid al-Aqsa sebagai kiblat pertama umat Islam, bahkan turut menyalakan kemarahan umat Islam seluruh dunia. Tidak cukup dengan penderitaan Palestin yang dijajah kerakusan syaitan bertopengkan manusia, masjid yang pernah termaktub di dalam lembaran al-Quran menjadi bahan hinaan mereka. Kebakaran yang dahsyat itu hampir memusnahkan keseluruhan masjid al-Aqsa. Jika tidak kerana pertolongan Allah, umat Islam kini mungkin tidak lagi mengenali masjid al-Aqsa. Apa yang merobek hati umat Islam, peristiwa ini tidak mendapat pengadilan sewajarnya. Bahkan Rohan dibebaskan atas alasan bertindak di luar kewarasan.


Rentetan dari peristiwa tersebut, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) telah ditubuhkan dengan harapan dapat membela nasib Palestin. Walaubagaimanapun, umum mengetahui tindakan OIC di atas angin tidak juga mengubah nasib umat Islam di Palestin. Dunia telah didedahkan dengan kepalsuan bahawa isu Palesin Israel adalah isu perebutan tanah, juga dikatakan isu ini hanyalah isu kemanusiaan yang turut menimpa di negara-negara lain amnya.

Hakikatnya, isu Palestin adalah isu umat Islam, isu saudara seaqidah yang wajib kita ketahui, wajib kita kongsi penderitaan mereka
, wajib kita berjuang dengan kemampuan kita hatta kalungan doa sekalipun. Kita juga turut dikelirukan dengan masjid al-Aqsa ciptaan yahudi yang berkubah emas semata-mata untuk mengalih tumpuan umat Islam sejagat. Masjid yang digelar Dome of Rock sebenarnya tidak bertepatan dengan hadis nabi yang menggelarkan masjid al-Aqsa sebagai masjid biru. Propaganda hebat yang dimainkan media membibitkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia.

Melihat pada keadaan ini, adakah kita tidak ingin ditempatkan dalam kalangan orang-orang Islam disebabkan ketidak pedulian kita terhadap mereka, seperti mana diungkapkan baginda Rasulullah?
Hidup kita di dunia bukan hanya sekadar tanggungjawab kita yang berada di sekeliling kita. Tetapi tanggungjawab kita melewati batas sempadan negara, lautan juga benua. Hanya aqidah yang menjadi batas dan sempadan umat Islam. Tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia bukan sekadar memperingati tarikh kemerdekaan negara, juga bukan sekadar mengenang pengorbanan pejuang-pejuang tanah air, tetapi perlu ditambah dengan memperingati tarikh 21 Ogos. Negara kita mungkin sudah merdeka (walau minda masih lagi dijajah), tetapi nasib Palestin masih lagi tidak jelas. Sekali lagi ditegaskan, kewajipan kita yang mengaku umat Muhammad saw adalah mengambil berat dan ihtimam dengan apa yang menimpa saudara seaqidah kita.

0 comments:

Copyright © 2008 - wadah penjana minda - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template