ahlan wasahlan..wamarhaban bikum

wadah penjana minda

iftar yogurt









Sudah lama memikirkan topik entry kali ini, dan bertangguh untuk disiarkan, tetapi baru kini berkesempatan untuk dilayarkan di teratak wadah penjana minda. pada pertengahan ramadhan lalu, berkesempatan untuk menghadiri majlis berbuka puasa dalam program WAMY (world Assembly Muslim YOuth) yang diadakan di conference room UIA Gombak. Kehadiran bersama beberapa orang teman secara tidak langsung membawa satu perkenalan baru dengan saudara seaqidah dari negara-negara lain. Meskipun begitu, rata-rata yang hadir datangnya dari nusantara. Indonesia, Thailand, China, Singapura dan lain-lain.

Saat berbuka adalah pengalaman yang sukar dilupakan. 'susu' yang dihulurkan oleh seorang sahabat dari Thailand bukanlah susu biasa. Telahanku, air yang dihulurkan adalah susu krim atau susu tepung. Rupa-rupanya yogurt, susu masam yang mengandungi berjuta-juta bakteria. Tetapi yogurt banyak manfaatnya bagi imunisasi tubuh badan manusia. Sebaik sahaja meneguk yogurt ini, perut mula rasa bergelora. Rasa muak dan pelik. Hampir separuh hari perut dikosongkan, sebaik sahaja berbuka yogurt minuman pertama yang masuk ke dalam kerongkong.

Walaubagaimanapun, berbuka dengan yogurt membuatkan aku terfikir sejenak. Sejenis susu yang berkhasiat, yang diperam sehingga masam dan menghasilkan berjuta-juta bacteria, tetapi tetap mengekalkan khasiatnya bahkan bermanfaat bagi tubuh badan manusia. Adakah kita juga begitu?. Pada satu masa iman kita goyah, nafsu mengajar kejahatan, tetapi akidah kita masih bertahan. Allah masih memilih kita untuk bermanfaat kepada manusia. Biar kita pernah tersilap, melakukan dosa dan kesalahan, tetapi atas azam yang tinggi, kita memohon ampun dan perkara baik tetap kita ingin lakukan. Malangnya tidak semua manusia sifatnya seperti yogurt. Tidak sedikit yang membencinya dek kerana berubah rasa, namun manfaat kepada manusia tidak berubah. Manusia adakalanya menjadikan sejarah silam sebagai alasan untuk tidak berubah. Pernah melakukan dosa menjadikan kita malu melakukan perkara yang baik. Paling dahsyat, kita takut dilabelkan orang baik. Tetapi tidak pernah takut melakukan kejahatan.

Sepertimana yogurt, pertama kali meneguknya, tidak semua mampu menerima rasanya. Adakala, terus ditolak disebabkan rasanya. Padahal, pada masa yang sama kita telah memperoleh khasiat dari yogurt tersebut. Adakah kita yang memegang taklif da'ie, khalifah ini mampu bertahan setelah dikeji, ditolak dan tidak diterima? Adakah kita masih lagi ingin mengajak ke arah kebaikan, memberi manfaat kepada manusia lain setelah kita dipandang rendah?

Bersama kita menjana minda waima melalui wasilah apa sekalipun. Dek kerana masamnya yogurt, permntaan terhadapnya sentiasa ada. Biar serendah mana pun Islam diletak, hakikatnya berbondong-bondong penganut Islam bertambah. Bagaimana pula dengan diri kita? Wallahu a'lam. Hidup bukan sekadar dihayati, belajar melihat, memerhati dan mengamati. berfikir, bertindak, bersimulasi dan beresolusi, hakikat hidup bukan untuk diri sendiri.

0 comments:

Copyright © 2008 - wadah penjana minda - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template