ahlan wasahlan..wamarhaban bikum

wadah penjana minda

daging unta dan kacang wasabi
































Pada mulanya, rasa ragu-ragu untuk memilih topik ini, namun memandangkan ada perkara yang kita boleh pelajari berdasarkan pengalaman, pengamatan dan peristiwa, topik ini tetap diteruskan. Masih lagi dalam perspektif yang sama, bezanya daya fikir kita sendiri yang membentuk, merencana dan mensimulasi. Daging unta dan kacang wasabi. Tiada perkaitan di antara duanya. Cuma kebijaksanaan Allah mengatur peristiwa itu, sahur terakhir aku dengan daging unta. Sangat-sangat tidak disangka. Dan keesokan harinya (hari raya) lidah menjadi kebas dek kerana termakan kacang wasabi. Dua peristiwa ini hanya dapat ditempuh saat ini atas izin-Nya jua. Selepas dua peristiwa ini, segera kotak minda merencana satu landskap permikiran untuk dikongsi bersama.

Dua jenis makanan yang datangnya dari Timur Tengah dan asia akhirnya menjadi suapan menjelang hari lebaran tanpa disangka-sangka. Dan kedua-dua tempat tersebut ada motivasi yang kita boleh pelajari. Antara tradisi ilmu dan disiplin masa. Tiada siapa yang dapat menafikan negara arab sebagai bumi kinanah, tempat yang diutuskan Allah rasul-rasul dan para anbiya'. Tanah arab misalnya menyaksikan sejarah kegemilangan Islam bermula di situ. Penerokaan dan tradisi ilmu di timur tengah melahirkan cendikiawan-cendikiawan yang menyumbang kepada kegemilangan Islam. Umat Islam di tanah arab umumnya memperolehi ilmu berdasarkan pengembaraan, diterjemahkan melalui penulisan, dikaji dan diamalkan. Pada zaman pemerintahan raja-raja Mamalik tafsir, hadis, fiqh, sirah, ilmu perubatan, ilmu falak dan lain-lain mula dipelajari. Menjadikan tuntutan ilmu satu ibadah, proses ta'dib tersebut bukan sahaja membawa kepada kegemilangan Islam, tetapi juga meningkatkan lagi keimanan para sahabat.

Tambahan pula, ibnu Jubair pernah menegaskan di timur Baghdad terdapat tidak kurang dari tiga puluh buah madrasah dan yang paling terkenal adalah madrasah Nizamiah. Sehingga kini, tradisi-tradisi menuntu ilmu itu juga disalurkan melalui suasan dan biah pembelajaran terutamanya apabila pelajar-pelajar ke serata dunia menuntut ilmu di timur tengah. Oleh itu, simbolik bagi daging unta tadi adalah lambang keagungan dan tradisi menuntut ilmu yang perlu kita teladani.

"Allah mengangkat kedudukan orang yang beriman dan mereka yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat." (almujadalah:11)


Sementara itu, sebagaimana yang kita maklumi, wasabi adalah sejenis makanan yang agak popular di jepun. Berasal dari sejenis tanaman dari keluarga kubis, wasabi memiliki aroma harum, dan rasa tajam menusuk hingga ke hidung seperti mustard, tapi bukan pedas di lidah seperti cili. Ironinya, wasabi adalah simbolik betapa disiplinnya masyarakat jepun dalam pengurusan masa. Tambahan pula, pepatah jepun pernah menyebut. "masa umpama nyawa yang tidak boleh dikembalikan". Oleh itu tidak hairanlah bagaimana mereka benar-benar menekankan aspek disiplin diri dan pengurusan masa.

Sekiranya mereka berpegang pada pepatah tersebut yang menjadikan mereka di antara negara termaju di dunia, kita sebagai umat Islam seharusnya lebih produktif kerana mafhum surah al asr sendiri menjurus kepada kepentingan masa.

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran."


Merujuk kepada surah tersebut yang menekankan penggunaan masa (umur) yang menguntungkan dan produktif di dunia dan di akhirat. Jika diteliti, surah tersebut mendidik kita mengenal tanggungjawab dan disiplin terhadap diri, agama, tanah air, masyarakat dan lain-lain. Barangkali kita sendiri sudah tidak berasa malu dengan istilah 'janji melayu' yang menggambarkan betapa lemahnya bangsa kita dalam pengurusan masa. Justeru, disiplin dan teladan yang ditunjukkan oleh masyarakat jepun perlu kita contohi. Mungkin bukan perkara mudah untuk membentuk disiplin dalam diri, tetapi jika kita memahami pengertian surah al-Asr, kita menjaga tradisi ilmu inysa'Allah jalan mempertahankan jati diri dan prinsip terutama bab penjagaan masa akan dipermudahkan Allah. Apa yang lebih baik lagi jika masa kita dimanfaatkan untuk pembangunan Islam itu sendiri.

Sebagai kesimpulannya, daging unta dan kacang wasabi bukanlah kisah dongeng yang direka, tetapi percaturan Allah yang mendatangkan sesuatu peristiwa adalah untuk difikirkan, dihayati, dikaji dan dijana minda. Dua perkara penting sebagai asas pembentukan jati diri cemerlang dan bermotivasi adalah untutan ilmu dan kepentingan menguruskan masa. Wallahu a'lam.

0 comments:

Copyright © 2008 - wadah penjana minda - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template