ahlan wasahlan..wamarhaban bikum

wadah penjana minda

budaya baru lebaran



Sempena lebaran yang menjelang ini, sudah menjadi satu budaya bagi pengguna blog untuk memanfaatkan medium maya ini. Sama ada perkongsian berbentuk penceritaan, pengalaman, tazkirah, pengamatan, kritikan dan sebagainya, budaya ini menunjukkan satu perkembangan positif bahawa masyarakat Malaysia memang gemar menulis, walaupun kurang membaca. Apa yang membezakan setiap pengguna blog itu sendiri berdasarkan gaya penulisan dan penyampaian. Lebih-lebih lagi menjelang aidilfitri, masing-masing tidak mahu ketinggalan berkongsi cerita dan yang penting penceritaan mestilah diniatkan sebagai ibadah agar ianya menjadi ilmu yang boleh dimanfaatkan.

Wadah penjana minda kali ini hanya ingin berkongsi sedikit budaya sempena aidilfitri di zaman berteknologi ini. Dalam kita tidak sedar, perubahan drastik ini turut menjebakkan diri kita sebagai salah seorang pengamal budaya baru hari lebaran. Layangan kad aidilfitri di sebahagian tempat seolah-olah menjadi satu tradisi yang bakal lapuk disebabkan wujudnya medium interaktif yang lebih mudah, cepat dan menjimatkan. Adanya email, friendster dan mesej pesanan ringkas, segala ucapan hanya dibuat melalui wasilah tersebut. Penulis juga tidak terkecuali menjadi pengamal budaya tersebut, tetapi kadang-kadang terfikir juga. JIka mesej itu dihantar dari seorang ke seorang yang lain, dengan hanya forward sahaja, maka nilai persaudaraan dan keikhlasan itu semakin terhakis. JIka penuh mesej dalam peti simpanan, akan segera dipadamkan.

Pagi raya yang sepatutnya diisi dengan budaya bersalaman, bermaafan, dan nilai kekeluargaan kadang-kala terencat disebabkan penghantar mesej sibuk menghantar mesej ucapan raya, dan penerima pula sibuk membaca mesej yang dihantar tidak henti-henti. Sesetengah penghantar merasa terkilan jika tidak menerima balasan dalam kadar segera. Disebabkan sibuk dengan budaya begini, ada pihak yang tersinggung dengan layanan kita. Bukanlah menjadi satu kesalahan apabila menghantar mesej ucapan raya, kerana ianya lebih mudah sementelah pula dengan kadar yang pantas, penerima yang beribu batu jauhnya juga dapat menerima ucapan tersebut. Tetapi yang menjadi masalahnya, budaya tersebut seolah-olah menjadi keutamaan sebaik sahaja 1 syawal menjelang.

JIka ingin dibandingkan dengan budaya tradisi yang bertepatan dengan tuntutan Islam, budaya sambutan raya pada masa kini sangat aneh apabila dijadikan hari lebaran sebagai pesta hiburan. Di sesetengah tempat, ada masyarakat lebih gemar menghabiskan masa dengan berhibur, melihat konsert, mengunjungi tempat-tempat yang ada tari menari dan lain-lain. Seolah-olah sambutan fitrah yang sepatutnya dipenuhi fikrah Islam, talian persaudaraan dicemari dengan budaya yang bukan tuntutan agama kita.

Teringat khutbah raya yang menyentuh aspek budaya di hari raya. Pesta hiburan yang melampau lebih menjadi tarikan di hari perayaan, berbanding masa yang dihabiskan bersama sanak saudara. Kadangkala perkara yang menarik perhatian dan memberi keseronokan belum tentu bertepatan dengan syariat Islam. Dalam surah al-Maidah ayat 100

"katakanlah, tidak sama yang buruk dengan yang baik. Meskipun banyak yang buruk itu menarik hatimu, Maka bertaqwalah hai Ulul albab agar kamu mendapat keuntungan."

Oleh itu, berhati-hatilah kita dengan senario yang berlaku kini. Jangan biarkan budaya yang bertetaptan dengan anjuran Islam terhakis disebabkan pengaruh post modernis yang menular membentuk satu budaya baru dalam masyarakat kita.

0 comments:

Copyright © 2008 - wadah penjana minda - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template