ahlan wasahlan..wamarhaban bikum

wadah penjana minda

bahana istilah

Mutakhir ini, manusia mudah memperolehi segala maklumat dan informasi hanya melalui media elektronik, media cetak mahupun 'media bergerak' (mulut manusia). Semangat inkuiri yang terlalu tinggi dan penyebaran maklumat yang terlalu pantas secara tidak langsung menyekat ruang minda masyarakat untuk terus membuat pertimbangan, menyiasat, menapis dan mengkaji. Disebabkan keinginan untuk mengetahui sesuatu perkara dengan pantas akhirnya telah melahirkan satu landskap pemikiran yang jumud, konservatif, ignorant dan penghukum. Mungkin bukan semua tergolong dalam kelompok ini. Tetapi, senario kompetitif yang dimainkan media sebagai bahan pelaris produk mereka menjadikan istilah sebagai daya tarik sebahagian masyarakat yang sering melatah dengan pernyataan-pernyataan dan tagline yang bersifat ambiguiti (tidak jelas). Keadaan ini secara tidak langsung mewujudkan satu budaya fitnah memfitnah, saling menuduh dan bersikap menghukum. Tegasnya, kelangsungan fenomena ini seakan sukar dibendung hanya kerana segalanya bermula dengan istilah atau masalah terminologi sahaja.


Contoh paling mudah boleh kita ambil dari istilah ibadah atau agama. Kepesatan dunia globalisasi dan post modernis menyaksikan wujud golongan sekular yang sangat terkesan dengan istilah agama dan ibadah. Tanpa kita sedari, sebilangan besar masyarakat telah diracuni permikiran yang cuba mengasingkan agama dan ibadah dari aspek kehidupan. Buktinya, apabila ada segelintir masyarakat yang tidak suka ditegur sikap mereka jika dikaitkan dengan agama.

"Apa haram-haram ni. agama-agama la..." "Engkau bukan Tuhan nak tentu aku masuk syurga ke neraka.." " Sikit-sikit agama, .."

dialog streotaip ini menjadi tamsilan fikiran mereka benar-benar diracun hanya kerana menganggap agama dan ibadah berkaitan dengan solat, sejadah dan amalah spiritual sahaja. Kemungkinan kekeliruan sebegini berlaku terhadap golongan yang kurang mendapat didikan agama.


Golongan yang pernah mendapat didikan agama sebahagiannya terkeliru dengan penggunaan terminologi usrah, dakwah dan tarbiyyah. Ada yang mengatakan kelangsungan usrah hanyalah dalam bentuk halaqah, berada di masjid atau di surau, mengupas kitab-kitab agama sahaja. Memang tidak dinafikan, anjuran dan amalan rasulullah ketika berusrah di rumah arqam bin abi al-Arqam dahulu sangat jelas dan bermanfaat. Tetapi permikiran jumud yang mengatakan usrah dan tarbiyyah hanya berlaku di surau dan masjid sahaja menyebabkan mad'u tidak berminat. Justeru, sudah tentu proses tarbiyyah tidak dapat disebarkan secara meluas. Hakikat yang perlu diketahui, usrah, dakwah dan tarbiyyah mencakupi semua aspek. Ditunjangi dengan taaruf, tafahum dan ta'awun, semua lapisan masyarakat tidak terkecuali menjadi sasaran penyebaran ilmu Allah. Tidak hanya di surau, tidak hanya kitab agama, sifat usrah yang mencapah mampu melahirkan generasi Muslim yang maju apabila segala aspek kehidupan dapat dikaitkan dengan agama. Malangnya, bahana istilah menjadikan penyebaran dakwah tidak dapat dijalankan secara menyeluruh.



Masalah terminologi yang berikutnya kedengaran agak sensitif. Islam hadhari yang dicanangkan oleh Perdana Menteri mendapat tentangan hebat, bahkan juga menjadi sindiran masyarakat yang bertindak atas emosi. Bukanlah penulis bersifat defensif terhadap kepartian, tetapi jika direnung prinsip yang digariskan, tidak ada cacat celanya. Disebabkan istilah Islam Hadhari yang dianggap cuba menambah-nambah sesuatu pada Islam, perlaksanaan yang bermanfaat tidak dapat dilakukan. Masyarakat dan pihak tertentu membazirkan banyak masa dan tenaga hanya kerana mempertikaikan istilah Islam Hadhari. Dakwa mereka, Islam hadhari adalah cubaan untuk membaiki sifat Islam yang sememangnya sudah sempurna. Lebih dahsyat lagi ada yang menyelar golongan pendokong Islam Hadhari sebagai syirik kerana tindakan yang seakan sama dengan penganut kristian dengan penambahan kristian kepada katolik, methodist dan sebagainya. Tidak dinafikan sememangnya telah wujud pertubuhan sebegini dalam kelompok Muslim indonesia, tetapi wajarkah kita menghukum Islam hadhari yang hanya kesilapan istilah sedangkan tiada langsung usaha-usaha dan prinsip Islam hadhari untuk menambah sesuatu terhadap kesempurnaan Islam. Tuntasnya, perlaksaan sesuatu yang bermanfaat terhenti dek kerana masalah terminologi sahaja.


Kemudian, istilah yang hangat diperkatakan kini adalah berhubung dengan senario fitnah yang berlaku di negara kita. Mubahalah yang dicadangkan sebagai satu kaedah terbaik menghentikan fitnah hakikatnya menjadi kekeliruan kepada golongan yang hanya mendengar dan menyampaikan tanpa mengkaji. Tidak hairanlah politikus yang kurang arif dengan agama juga ingin mengeluarkan kenyataan di dada akhbar sebagai tanda sensitif dan respon terhadap terminologi mubahalah sehinggakan masyarakat hanya mengiyakan. Sumpah yang dilakukan oleh Saiful Bukhari Azlan hakikatnya bukanlah mubahalah yang diperkatakan. Ada juga pihak yang menggunakan dalil dari surah al-Imran ayat 61 sebagai perlaksaan mubahalah. Padahal, merujuk pada terjemahan dan asbab nuzul ayat tersebut adalah mula'anah atau saling melaknat. Sumpah tohmah yang dilakukan oleh Saiful Bukhari tidak sedikit pun menyamai kaedah mubahalah yang diperkatakan. Sehinggakan tindakan bersumpah menggunkan al-Quran juga dikatakan oleh pihak tertentu sebagai bukan budaya Islam. Justeru itu, apa sebenarnya yang berlaku? Apakah mubahalah itu? Terminologi begini yang tidak mahu dikaji oleh sebahagian masyarakat akhirnya menjadi buah mulut, dipaparkan di media cetak sebagai bahan pelaris dan menambahkan kebejatan khilaf yang tinggi.


Sememangnya masalah terminologi bukan hanya berlaku kini. Sabdaan nabi dan tafsiran kalamullah yang bersifat mutasyabihat dan muhkamat juga disalah fahami oleh golongan yang mengambil pengertian secara terus. "Tangan Allah di atas tangan manusia ..." perlu difahami sebagai ayat mutasyabihat. Sebahagian mufassirin menggunakan kaedah takwil atau tafwidh untuk mentafsirkan maksud ayat tersebut. Tafsiran paling jelas yang disepakati oleh sebahagian besar ulama' tentu lah kita memahami ayat tersebut sebagai kekuasaan (tangan) Allah. Tafsiran kalamullah dan sabdaan nabi tidak semudah kita memahami menggunakan akal sahaja. Oleh itu, waima tafsiran al-Quran, hadis nabi, kata-kata orang tua-tua, pernyataan-pernyataan akhbar dan individu tertentu tertentu tidak semudah mana untuk kita fahami tanpa pertimbangan, pengkajian, pembelajaran dan pendidikan.

Secara mudah untuk kita simpulkan, perhatikan mafhum surah al-hujuraat ayat 1:

"wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan Rasul-Nya, dan bertaqwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

Juga fahami mafhum dari surah yang sama ayat 6:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik yang membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum perkara yang tidak diingini-dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya)-sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."

0 comments:

Copyright © 2008 - wadah penjana minda - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template