ahlan wasahlan..wamarhaban bikum

wadah penjana minda

haji:kerana adat atau ibadat?



kalam dimulakan dengan madah firman Allah:

"Apakah mereka yang memberi minuman kepada orang-orang yang mengerjakan ibadah haji dan menguruskan Masjid el-Haram, kamu samakan dengan mereka yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sudut Allah. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum Muslim yang zalim. Mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalahlebih tinggi darjatnya di sisi Allah, dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan."

(Surah al-Tawbah:19-20)

Bulan Zulhijjah bakal menjenguk, menyaksikan berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia menunaikan rukun Islam yang terakhir ini. Hal ini turut berlaku dalam msyarakat Islam di Malaysia. Bukan mudah menjadi umat yang terpilih oleh Allah untuk menjadi tetamu agung-Nya. Rentetan dari anggapan ini, tidak hairanlah jumlah penduduk Malaysia yang mengerjakan Haji sentiasa meningkat saban tahun. Tidak kira latar belakang bagaimana sekali pun, samada golongan marahain, berada, dari desa atau pun bandar, bahkan golongan artis turut sama membuat persediaan untuk menyahut seruan Allah Yang Satu. Pekerja-pekerja yang menguruskan bahagian penerbangan jemaah haji sehinggalah golongan yang mengendalikan pakej Haji turut sama merasa kesibukan.

Justeru, fenomena ini bukanlah asing terutamanya bagi masyarakat yang mengerjakan Haji setiap tahun disebabkan tiadanya had kemampuan bagi mereka. Bagaimana pun, ibadah ini bukanlah satu paksaan sehinggakan ada sesetengah pihak terlalu mendahulukan Haji dalam semua perkara. Bahkan, ada yang merasakan sudah lengkap Islam dengan hanya menunaikan haji. Sekiranya hal ini menjadi tanggapan pihak-pihak tertentu, eloklah dikaji dan direnung kembali firman Allah di atas.

Bukanlah sesuatu yang asing jika kita biasa mendengan dialog-dialog klise ini

"Bagus betul si fulan tu, setiap tahun kerjakan haji"

"Insya'Allah tahun ni saya akan kerjakan haji lagi seperti tahun-tahun yang lalu"

"Saya rasa, saya dah cukup mampu untuk menunaikan haji lagi"

Melihat pada ungkapan-ungkapan ini, terdetik di benak penulis, betapa sedihnya jika kita sendiri menjadikan ibadah itu sebagai satu adat. Sehinggakan matlamat asal untuk mencari keredhaan Allah dan mendapatkan haji mabrur hilang begitu sahaja.

Barangkali kita terlupa dengan kondisi masyarakat Islam di negara kita sendiri. Duit yang kita ada dilaburkan untuk mengerjakan haji tidak salah, tetapi yang menjadi salahnya kita tidak berterusan melakukan ibadah sekembalinya dari tanah suci. Bertitik tolak perkara ini, penulis rasa adalah lebih baik jika duit yang dilaburkan disumbangkan untuk membantu gerakan-gerakan Islam, pendidikan anak-anak Islam dan membasmi kemiskinan umat Islam

Pendapat penulis ini berdasarkan dari saranan Yusuf alqaradawi dalam kitabnya Fiqh al-Aulawiyat. Meskipun ada di antara kita yang mengatakan sumbangan terhadap Islam itu fardhu kifayah, sedangkan mengerjakan haji adalah fardhu Ain. Tetapi, tidakkan kita celik untuk melihat firman Allah di atas,:

Apakah mereka yang memberi minuman kepada orang-orang yang mengerjakan ibadah haji dan menguruskan Masjid el-Haram, kamu samakan dengan mereka yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sudut Allah.

Mendasari kondisi kini, masyarakat Islam sekarang amat memerlukan sumbangan dan bantuan terutamanya penduduk Islam di pedalaman. Kita tidak seharusnya membiarkan kerja-kerja ini dilakukan oleh orang bukan Islam yang kebanyakan mempunyai agenda tersendiri. Mubaligh-mubaligh kristian mendekati masyarakat Islam yang sangat memerlukan bantuan dan perlindungan. Natijahnya, kita sendiri menanggung akibat apabila beribu-ribu masyarakat Islam pedalaman menganut agama Kristian.

Cuba kita bayangkan, duit dari seorang jemaah Haji, jika dibelanjakan di jalan Allah, akan menyelamatkan beribu-ribu umat Islam yang kemarau kebajikan dan perlindungan. Walaubagaimanapun, tidak menjadi kesalahan bagi mereka yang benar-benar telah bersedia menjadi tetamu Tuhan. Dengan persediaan mental dan fizikal, bersihkan diri dan jiwa kerana kita pergi menghadap Malik al-Mulk, Raja sekalian Raja. Janganlah disebabkan kerana adat kita mengerjakan ibadah haji, kita terlupa perkara yang patut dilakukan seperti mantapkan rohani dan dekatkan diri dengan cinta Ilahi, berbanding kita terlalu membuat persiapan dari sudut lahiriah.

Lantaran itu, beringatlah sebelum terlambat. Disebabkan kita terlalu mengutamakan perkara-perkara dan ibadah yang bersifat inidividu, kita terlupa perkara yang menjadi kewajipan dan harus disegerakan. Jaminan Allah adalah sesuatu yang bersifat pasti.

"Tuhan mereka menggembirakan mereka dengan memberikan rahmat daripada-Nya, keredhaan dan syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang kekal"

(surah al-Tawbah:21)


0 comments:

Copyright © 2008 - wadah penjana minda - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template